SUKAN

Kejohanan Dunia BWF: Saya mahu tamat kempen tanpa sebarang kecederaan - Lee Zii Jia

Astro Arena 23/08/2025 | 01:00 MYT
Lee Zii Jia kembali menggegar gelanggang badminton apabila membuat penampilan dalam saingan Kejohanan Badminton Dunia BWF yang berlangsung di Perancis bermula Isnin ini.
PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia, kembali menggegar gelanggang badminton apabila membuat penampilan dalam saingan Kejohanan Badminton Dunia BWF yang berlangsung di Perancis bermula Isnin ini.

Kelibat pemain itu kembali beraksi dinanti-nanti seluruh peminat Malaysia apabila telah lama berehat ekoran kecederaan.

Bakal membuat penampilan semula di pentas Kejohanan Dunia, Zii Jia, tidak meletakkan tekanan yang tinggi sebaliknya mahu memastikan menamatkan saingan tanpa sebarang masalah yang mampu menghimpit perjalanan bagi baki musim ini.

"Sudah agak lama dan Kejohanan Dunia akan menjadi kejohanan pertama saya selepas berehat panjang.

"Saya tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan pada diri sendiri. Saya hanya mahu menikmati kembali berada di gelanggang kompetitif dan yang paling penting, menamatkan kempen di Paris tanpa sebarang kecederaan," catat Team LZJ menerusi Instagram.

Kejohanan berprestij tersebut akan berlangsung di Adidas Arena, Paris bermula Isnin ini hingga 31 Ogos.

Dalam aksi pembukaan Zii Jia dijadual menentang pemain di ranking ke-38 dunia dari Korea Selatan, Jeon Hyuk-jin.

Sebagai rekod, pemain yang berasal di Alor Setar, Kedah itu mempunyai perlindungan ranking di kedudukan kesembilan, kini berada di tangga ke-52 dunia.

Zii Jia tidak beraksi sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali yang dialami sejak Jelajah Dunia Akhir Disember lalu.

Kali terakhir pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu beraksi ketika Master Orleans dan Seluruh England pada Mac, namun dia dihantui kecederaan yang memaksanya menarik diri daripada beberapa kejohanan iaitu Terbuka Amerika Syarikat, Jepun dan China.

Bagaimanapun disebabkan Zii Jia mendapat perlindungan ranking, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menawarkan dia slot ke Paris. - Stadium Astro

#badminton #Kejohanan Dunia BWF #Lee Zii Jia #pemain perseorangan negara