SPORTS
Kejohanan Dunia: Empat pemain skuasy negara mara pusingan kedua

Sivasangari memulakan kempen kejohanan dunia yang berlangsung di Chicago dengan kemenangan ke atas pemain Sepanyol, Marta Dominguez. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Empat pemain skuasy negara, termasuk S. Sivasangari mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat, semalam.
Ringkasan AI
- Empat pemain skuasy negara, termasuk S. Sivasangari, berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2024-2025 di Chicago.
- Sivasangari dan Rachel Arnold akan berdepan lawan dari Mesir, manakala Aira Azman dan Ng Eain Yow turut menghadapi ujian sukar dalam perlawanan seterusnya.
- Walaupun beberapa pemain menunjukkan prestasi cemerlang, Aifa Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi terpaksa akur dengan kekalahan kepada lawan masing-masing.
Pemain nombor 19 dunia, Rachel Arnold turut menempah tempat ke pusingan seterusnya selepas meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut ke atas Nour Heikal dari Mesir, 11-9, 11-9, 4-11, 11-3.
Cabaran getir menunggu Rachel di pusingan kedua apabila terpaksa berdepan pilihan utama yang juga nombor empat dunia, Olivia Weaver, yang meleburkan harapan peminat skuasy Malaysia dengan menewaskan Aifa Azman, 11-3, 11-2, 11-1.
Juara baharu Terbuka Bermuda 2025, Aira Azman turut mara ke pusingan kedua setelah menundukkan Torrie Malik dari England, 11-8, 10-12, 11-7, 11-8.
Menduduki rangking ke-26 dunia, Aira akan berdepan dengan Salma Hany dari Mesir, yang menewaskan rakan senegara, Menna Hamed, 11-9, 8-11, 11-9, 11-3.
Sementara itu, wakil tuan rumah, Amanda Sobhy, membuktikan dia terlalu kuat buat Noor Ainaa Amani Ampandi apabila menang mudah 11-3, 11-2, 11-3.
Bagi kategori lelaki pula, pemain nombor 10 dunia, Ng Eain Yow menepati jangkaan apabila menyingkirkan Patrick Rooney dari England, 11-8, 11-5, 11-6.
Eain Yow yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan, akan menghadapi lawan dari Pakistan, Muhammad Asim Khan di pusingan kedua selepas Asim menang dalam perlawanan sengit lima set menentang pemain Perancis, Auguste Dussourd, 11-9, 7-11, 12-10, 7-11, 11-2.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami