GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
SUKAN

Kejohanan jadi 'ubat' Aaron kekal berbisa

Bernama 03/10/2025 | 12:45 MYT
Juara dunia 2022 yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik itu menegaskan pengalaman beraksi dalam kejohanan ternyata tidak sama dengan sesi latihan walaupun berdepan risiko kecederaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia mengakui dirinya lebih gemar beraksi dalam seberapa banyak kejohanan setiap tahun kerana ia menjadi kunci utama mengekalkan 'perasaan' di dalam gelanggang, khususnya dengan hala tuju besar menuju temasya Olimpik Los Angeles 2028.

Juara dunia 2022 yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik itu menegaskan pengalaman beraksi dalam kejohanan ternyata tidak sama dengan sesi latihan walaupun berdepan risiko kecederaan.

"Saya sendiri memang suka bermain dalam banyak kejohanan walaupun sudah berusia 28 tahun untuk mengekalkan feeling on court. Sebab itu saya akan all out tapi menang atau kalah itu perkara kedua.

"Ketika latihan memang lain walaupun bagi 100 peratus, 200 peratus tapi pada kejohanan kadangkala hanya boleh keluarkan 50 peratus sebab semasa kejohanan, kita akan gementar, apatah lagi bila lawan kita lebih menyerlah. Tapi itu bukan bermakna saya tidak mahu menang," katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

Dalam masa sama, Aaron mengakui sukar untuk menerima definisi sudah berada dalam kelompok beregu 'terbaik' apabila dirinya masih 'dahagakan' pencapaian.

"Semua pemain ada definisi 'terbaik'. Mungkin bagi saya, kalau nak cakap terbaik, saya kena ambil Juara Dunia, pingat Olimpik dan semua kejohanan besar yang disertai. Namun, pemain lain mungkin berbeza (pandangan) ... sememangnya saya sendiri belum puas," katanya.

Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu gandingan Denmark Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada saingan Terbuka Artik 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 12 Okt ini.

Pasangan negara itu perlu memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan berkenaan untuk memastikan mereka layak ke Jelajah Akhir Dunia 2025.

-- BERNAMA



#risiko kecederaan #juara dunia #pingat Olimpik #Terbuka Artik 2025