SKUAD B19 negara terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada Vietnam dalam aksi Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Thanh Nien, sebentar tadi.

Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Binh Duong itu, Vietnam turun dengan misi untuk menebus kekecewaan selepas tumpas 3-0 skuad kendalian Hassan Sazali Waras dalam separuh akhir Kejohanan AFF B19 AFF, 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya B19 yang dibarisi sebahagian besar pemain baharu berbanding ketika Kejohanan AFF B19 terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila berada di depan seawal minit kelima menerusi jaringan menarik Nazrin Nasir.

Vietnam menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-28 menerusi penyudah Nguyen Duc Anh.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan seri, Vietnam menemui jalan untuk menembusi gawang Malaysia sekali lagi dalam masa kecederaan yang disempurnakan Khuat Van Khang.

Malaysia yang seri tanpa jaringan dengan Thailand dalam aksi pertama, Jumaat lalu akan berdepan Myanmar di gelanggang sama Selasa ini.


Artikel asal di Stadium Astro.