Kejohanan Wimbledon: Barty bangga tewaskan Kerber untuk ke final

Astro Arena
Julai 9, 2021 01:27 MYT
Ashleigh Barty meraikan kejayaan menewaskan Angelique Kerber dalam pusingan separuh akhir tenis wanita pada hari ke-10 Kejohanan Tenis Wimbledon di London, 8 Julai, 2021. (Foto AP)
ASH Barty menjadi pemain wanita Australia pertama layak ke final Kejohanan Tenis Wimbledon sejak 1980 selepas pemain nombor satu dunia itu menyingkirkan bekas juara, Angelique Kerber, malam tadi.
Bagaimanapun, Barty - yang menjadi pemain pilihan utama pertama layak ke separuh akhir di Wimbledon sejak Serena Williams melakukannya pada 2016 - perlu mengerahkan aksi terbaiknya sebelum menang 6-3, 7-6 di Center Court.
Selepas kemenangan itu Barty berkata: "Ini amat luar biasa. Ia hampir kepada perlawanan terbaik yang pernah saya hadapi. Angie sememangnya memaksa saya mengeluarkan yang terbaik hari ini. Ia perlawanan yang sukar sejak dari pukulan pertama.
"Saya amat berbangga dengan diri saya dan pasukan saya dan kami kini berpeluang untuk mengejar impian kami (dalam final) Sabtu ini.
"Saya sudah melalui pengembaraan yang luar biasa. Saya mempunyai turun naik dan segala-galanya sebelum ini dan saya tidak akan berubah untuk satu hari atau satu momen.
"Ia merupakan sesuatu yang unik. Ia merupakan sesuatu yang luar biasa, ia merupakan sesuatu yang sukar. Terdapat banyak perkara yang membawa ke tahap ini dan saya tidak akan mengubah apa-apa mengenainya.
"Saya menikmati setiap hari saya. Untuk dapat ke final di Wimbledon, Sabtu ini akan menjadi pengalaman terbaik setakat ini," katanya.
Sementara itu, Karolina Pliskova bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aryna Sabalenka awal pagi tadi, sekali gus mara ke final pertama Kejohanan Tenis Wimbledon, di mana dia akan bertemu pemain nombor satu dunia, Ash Barty.
Dalam pertemuan separuh akhir di antara dua pesaing yang paling ditakuti dalam WTA itu, pemain pilihan kelapan, Pliskova, muncul pemain terbaik di Centre Court apabila menang 5-7, 6-4, 6-4.
Terdapat 32 servis ace diakukan sepanjang perlawanan itu dan amat jarang satu rally panjang dapat dilihat.
Bagaimanapun aksi tekal yang dipamerkan Pliskova -- di mana dia hanya melepaskan satu peluang mata break -- membantunya untuk melangkah ke final bagi bertemu Barty, yang turut memburu gelaran pertama di Wimbledon.
#Ash Barty #Ashleigh Barty #Kejohanan Tenis Wimbledon #Angelique Kerber #Karolina Pliskova #Aryna Sabalenka #Australia