[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Kekalahan 4-2 Selangor kepada Bangkok United bukan satu tragedi - Kinoshi

Bernama 19/09/2025 | 05:30 MYT
Ketua Jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi tidak menganggap kekalahan 4-2 kepada Bangkok United dalam aksi pembukaan ACL2 sebagai tragedi. - Gambar/ Bernama
PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi tidak menganggap kekalahan 4-2 kepada Bangkok United dalam perlawanan pembukaan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/2026 di sini malam tadi sebagai satu tragedi.


Ringkasan AI
  • Ketua Jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi tidak menganggap kekalahan 4-2 kepada Bangkok United dalam aksi pembukaan ACL2 sebagai tragedi, sebaliknya memuji semangat juang pemain yang berjaya menjaringkan dua gol walaupun beraksi dengan 10 pemain.
  • Kinoshi mengakui beberapa kesilapan taktikal menyulitkan keadaan dan menegaskan keperluan untuk mengenal pasti kelemahan serta melakukan perubahan menjelang perlawanan seterusnya.
  • Jurulatih Bangkok United Totchtawan Sripan berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun menghadapi cabaran menyesuaikan diri dengan keadaan padang, dan menyifatkan perlawanan tersebut sebagai sukar seperti yang dijangkakan.


Pengendali dari Jepun itu berkata anak-anak buahnya telah menunjukkan semangat juang apabila berjaya menjaringkan dua gol walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Harith Haiqal dilayangkan kad merah pada minit ke-39.

"Tewas dengan perbezaan jaringan dua gol bukanlah satu tragedi. Kita dapat lihat mentaliti pemain masih tidak berputus asa walaupun beraksi dengan 10 orang.

"Pada separuh masa kedua, kami ada peluang yang baik untuk menyamakan kedudukan dengan terus menyerang serta membuatkan lawan keletihan. Mereka jelas tidak menyerah kalah," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kinoshi bagaimanapun mengakui anak-anak buahnya turut menyulitkan lagi keadaan dalam aksi sukar itu dengan melakukan beberapa kesilapan taktikal.

"Jika lawan tidak begitu bagus, kesilapan yang dilakukan mungkin tidak akan dihukum tetapi malam ini, Bangkok United adalah pasukan yang baik dan mereka berjaya menghidu kelemahan seterusnya menghukum kami.

"Kita perlu kenal pasti masalah ini dan melakukan perubahan untuk perlawanan akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bangkok United Totchtawan Sripan berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang.

"Kami memang menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan itulah yang berlaku.

"Ada beberapa kesilapan kerana saya sendiri kurang biasa dengan keadaan padang, tetapi kami cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA


#ACL2 #Liga Juara-Juara Asia 2 #Selangor #Bangkok United