Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
SUKAN

Kelantan anjur SUKEL 2025 cari atlet Muay Thai SUKMA 2026

Bernama 27/10/2025 | 13:30 MYT
Zamakhshari berkata kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Okt ini akan diadakan di Kompleks Tarbiah Rantau Panjang, Pasir Mas. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menganjurkan Kejohanan Muaythai Pro Negeri Kelantan (SUKEL) 2025 sebagai persediaan mencari atlet yang bakal beraksi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata kejohanan yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Okt ini akan diadakan di Kompleks Tarbiah Rantau Panjang, Pasir Mas.

"Sebanyak 14 regu profesional dan 50 regu amatur akan beraksi pada kejohanan kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata bagi peringkat umur petinju yang layak menyertai kejohanan itu adalah berusia lapan hingga 20 tahun dan perlu mewakili kelab masing-masing sama ada amatur atau profesional yang terdapat di Kelantan.

"Kejohanan ini adalah satu daripada persiapan kami menghadapi SUKMA di Selangor dengan mencari bakat baharu untuk diketengahkan.

"Petinju yang dipilih pada kejohanan ini tidak hanya mewakili Kelantan pada SUKMA tahun hadapan, malah akan mewakili SUKMA 2028 apabila Kelantan menjadi tuan rumah," katanya.

Beliau berkata pada sesi pagi, kejohanan itu akan melibatkan petinju amatur, manakala sesi malam pula ia melibatkan petinju atau regu profesional.

"Saya harap orang ramai dapat datang untuk memberi sokongan kepada petinju yang terlibat kerana mereka ini bakal menjadi atlet mewakili Kelantan pada SUKMA akan datang," katanya.

SUKMA Selangor 2026 bakal mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, terbanyak dalam sejarah penganjuran temasya dwitahunan itu, yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan.

-- BERNAMA



#SUKMA #MuY Thai #SUKEL #regu amatur