SUKAN

Kelantan TRW rehatkan Elavarasan

Sinar Harian 16/10/2025 | 23:30 MYT
Akmal Rizal dan Elavarasan. - Foto Sinar Harian
PENGENDALI Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) E Elavarasan direhatkan serta-merta.


Ringkasan AI
  • Jurulatih Kelantan TRW, E. Elavarasan, direhatkan serta-merta susulan prestasi tidak menentu pasukan dalam saingan Liga Malaysia.
  • Bekas pengendali Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, dilantik sebagai pengganti, dibantu penolong jurulatih Zairul Fitree Ishak.
  • Aksi pertama Akmal Rizal akan bermula pada suku akhir Piala FA menentang Sabah FC, selepas pasukan kini berada di tangga ketujuh liga dengan lapan mata.


Sumber rapat berkata, tindakan itu susulan prestasi tidak menentu yang direkokan Kelantan TRW semasa di bawah kendalian jurulatih berkenaan.

"Bagi menggantikan Elavarasan, pengurusan sepakat memilih bekas pengendali Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai pengganti," katanya.

Menurut sumber itu lagi, Akmal Rizal akan dibantu oleh penolong jurulatih, Zairul Fitree Ishak.

Katanya, Zairul Fitree pernah bermain bersama Akmal Rizal ketika penyerang itu bermain dengan The Red Warriors.

Sumber berkata, bekas penyerang itu sudah tiba di Kota Bharu untuk mengendalikan pasukan.

Ujarnya, ujian pertama Akmal Rizal ialah bersama Kelantan TRW pada aksi suku akhir pertama menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.

"Keputusan merehatkan Elavarasan tepat susulan prestasi tidak menentu pasukan terutama selepas tewas 1-4 kepada Terengganu FC baru-baru ini," katanya.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Kelantan TRW menduduki tangga ketujuh selepas meraih lapan mata.

Kejayaan besar Elavarasan membawa Kelantan TRW mara ke aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini. - Sinar Harian



#The Red Warriors #Kelantan TRW #E Elavarasan #Akmal Rizal Ahmad Rakhli