SPORTS

Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia diundi bersama Thailand dalam Kumpulan F

Bernama 29/05/2025 | 11:16 MYT
Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan layak ke pusingan akhir di Arab Saudi. - Foto FB FAM
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak lelaki bawah 23 (B-23) negara bakal berdepan laluan berliku apabila diundi bersama seteru tradisi, Thailand dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di negara Gajah Perang itu dari 1 hingga 9 Sept ini.


Ringkasan AI
  • Malaysia diundi dalam Kumpulan F:Skuad B-23 negara bakal berdepan cabaran sukar dalam Kelayakan Piala Asia B-23 2026 selepas diundi bersama seteru tradisi Thailand, serta Lubnan dan Mongolia, dengan perlawanan berlangsung di Thailand dari 1 hingga 9 September 2025.
  • Format kelayakan dan sasaran: Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan layak ke pusingan akhir di Arab Saudi pada Januari 2026, dengan Malaysia berusaha mengulangi pencapaian terbaik mereka mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.
  • Senarai kumpulan lain: Undian rasmi dilakukan oleh AFC, menyaksikan juara bertahan Jepun berada dalam Kumpulan B, manakala negara-negara lain seperti Vietnam, Australia, Korea Selatan, dan Qatar juga bersaing dalam kelompok masing-masing.


Selain tuan rumah, anak-anak buah Mohd Nafuzi Zain turut diundi bersama Lubnan dan Mongolia dalam saingan berformat berpusat itu.

Undian dijalankan di Ibu Pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di sini hari ini.

Hanya juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi dari 7 hingga 25 Jan tahun depan.

Setakat ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan itu adalah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Dalam perkembangan sama, juara bertahan Jepun diundi dalam Kumpulan B bersama Kuwait, Myanmar dan Afghanistan.

Berikut merupakan senarai penuh kumpulan bagi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026:



Kumpulan A: Jordan, Turkmenistan, Taiwan, Bhutan

Kumpulan B: Jepun, Kuwait, Myanmar, Afghanistan

Kumpulan C: Vietnam, Yaman, Singapura, Bangladesh

Kumpulan D: Australia, China, Timor Leste, Kepulauan Mariana Utara

Kumpulan E: Uzbekistan, Palestin, Kyrgyzstan, Sri Lanka

Kumpulan F: Thailand, Malaysia, Lubnan, Mongolia

Kumpulan G: Iraq, Kemboja, Oman, Pakistan

Kumpulan H: Qatar, Bahrain, India, Brunei

Kumpulan I: Emiriah Arab Bersatu, Iran, Hong Kong, Guam

Kumpulan J: Korea Selatan, Indonesia, Laos, Macau

Kumpulan K: Tajikistan, Syria, Filipina, Nepal



-- BERNAMA






#skuad bola sepak lelaki bawah 23 #Kelayakan Piala Asia B-23 2026 #bertemu Thailand #Konfederasi Bolasepak Asia