Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Kelayakan Piala Asia: Belum terlambat lagi - Luqman Hakim

Astro Arena 16/11/2025 | 13:33 MYT
Untuk pertama kalinya, Luqman Hakim mengisi keperluan skuad negara di bawah kendalian Peter Cklamovski. - StadiumAstro.com
BERBAKI dua hari menuju pertemuan di antara Malaysia dan Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027, Luqman Hakim Shamsudin terpaksa melalui perjalanan yang panjang untuk bersama skuad kebangsaan.

Bermula dengan keputusan untuk berkelana, janji Luqman untuk tidak pulang ke tanah air selagi tidak berjaya akhirnya terpaksa dilupakan.

Prestasinya di luar negara bersama KV Kortrijk tidak seindah yang diharapkan yang menyaksikannya dipinjamkan ke Njardvik dan YSCC Yokohama, namun hasrat untuk melihat minit bermain bersama dua kelab ini tampak sulit.

Ketika rakan-rakan lain seperti Mukhairi Ajmal Mahadi , Harith Haiqal dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman sudah mula mencipta nama di Malaysia, Luqman Hakim di luar negara masih berperang dengan situasi.

Untuk pertama kalinya, Luqman Hakim mengisi keperluan skuad negara di bawah kendalian Peter Cklamovski dan tidak mahu istilah terlambat menjadi penghalang untuknya bersinar bersama skuad kebangsaan.

"Ini peluang untuk saya tunjukkan kemampuan bersaing. Situasi saya sebelum ini berdepan naik dan turun, ia pengalaman yang mematangkan saya.

"Saya hanya perlu tingkatkan prestasi. Saya baru berusia 23 tahun, perjalanan karier saya masih panjang. Jadi saya rasa belum terlambat lagi," kata pemain Negeri Sembilan itu.

Luqman tidak nafi kerinduannya terhadap tugasan negara begitu menebal.

Sekembalinya memikul tugasan negara, dia menyerahkan sepenuhnya kepercayaan Cklamovski dalam menyusun kedudukannya bersama pasukan, bergantung kepada keperluan skuad negara dalam tugasan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

"Saya sangat-sangat rindu untuk menyarung jersi negara setelah setahun setengah.

"Walaupun menggemari posisi sayap kiri dan peranan nombor 10. Tapi jurulatih mungkin lebih nampak posisi yang patut saya mainkan. Saya sedia menyahutnya dan berikan yang terbaik," katanya lagi.

* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com




#Luqman Hakim Shamsudin #harimau Malaya #skuad kebangsaan #Piala Asia #Nepal