SUKAN

Kelayakan Piala Asia Wanita: Malaysia tumbangkan Tajikistan di saat akhir

Astro Arena 03/07/2025 | 05:02 MYT
Perlawanan di Stadium Central, Dushanbe berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Malaysia. - Stadium Astro
MALAYSIA meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Tajikistan dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 awal pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 hasil tandukan Henrietta Justine pada minit akhir.
  • Kemenangan ini mengukuhkan peluang Malaysia ke Piala Asia selepas kemenangan sebelum ini ke atas Palestin dalam Kumpulan H.
  • Perlawanan penentuan menanti apabila Malaysia perlu menewaskan pasukan kuat Korea Utara dalam aksi terakhir kumpulan untuk layak.


Setelah menewaskan Palestin dalam aksi sulung kumpulan H, pasukan wanita Malaysia turun membawa misi mencatat kemenangan kedua bagi memastikan tiket ke Piala Asia tetap menyala.

Manakala lawan Malaysia, Tajikistan yang beraksi di hadapan penyokong sendiri memasang impian besar bagi bangkit dari kekalahan 0-10 di tangan Korea Utara pada aksi pertama lalu.

Ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli, mengekalkan khidmat Steffi Sarge, Ainsyah Murad dan Azurin Mazlan dalam kesebelasan utama selaku tonggak utama pasukan.

Permainan seimbang dalam separuh masa pertama dan tiada jaringan berjaya terhasil dalam tempoh 45 minit pertama.

Malaysia menggandakan usaha untuk memecah kebuntuan jaringan dan saat yang dinanti-nantikan skuad negara hadir pada penghujung permainan apabila hantaran Intan Sarah ditanduk kemas oleh Henrietta Justine yang baru dimasukkan sekaligus menjadi gol kemenangan skuad negara.

Perlawanan di Stadium Central, Dushanbe berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Malaysia.

Ujian getir menanti skuad Malayan Tigress dalam perlawanan terakhir kumpulan H apabila wajib menumpaskan pasukan di ranking ke-9 dunia, Korea Utara untuk ke Piala Asia Wanita. -- Stadium Astro






#Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 #Malaysia tewaskan Tajikistan #Malayan Tigress #tewaskan Palestin