JERMAN 9 LIECHTENSTEIN 0

Hansi Flick percaya semua anak buahnya berkobar-kobar untuk mewakili Jerman selepas dia meneruskan permulaan baiknya sebagai ketua jurulatih dengan kemenangan 9-0 ke atas Liechtenstein yang beraksi 10 pemain dalam kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Jerman mendominasi perlawanan itu berikutan kad merah awal yang dilayangkan terhadap Jens Hofer dengan Ilkay Gundogan, Leroy Sane dan Marco Reus mencetak jaringan selain gol sendiri Daniel Kaufmann untuk meletakkan Die Mannschaft di hadapan 4-0 dalam separuh masa pertama.

Sane menambah gol kelima pada awal babak kedua disusuli Thomas Muller menyumbangkan gol berganda, satu jaringan Ridle Baku dan satu lagi gol sendiri daripada Maximilian Goppel pada lewat permainan mengesahkan kekalahan berat itu.

Keputusan itu mengangkat Flick sebagai ketua jurulatih Jerman pertama yang memenangi enam perlawanan pertamanya untuk mengatasi pencapaian bekas mentornya, Joachim Low.

Bekas pengendali Bayern Munich itu berkata tugasnya dipermudahkan oleh keinginan bintang Jerman untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utamanya.

"Sudah tentu saya berpuas hati," katanya kepada RTL.

"Suasananya sungguh hebat. Ini adalah kejayaan ketiga yang kami kecapi di tempat sendiri. Kombinasi pasukan dan penyokong sangat hebat.

“Kami gembira dengan kualiti yang dipaparkan, semua orang mahu menyertai pasukan ini, ia memudahkan tugas kami.

"Amat penting untuk semua pemain mengikut acuan permainan yang diterapkan dan itulah tanggapan kami."

Jerman, yang kemaraan ke Piala Dunia di Qatar tahun depan telah pun terjamin sebelum perlawanan di Wolfsburg itu, akan menamatkan kempen Kumpulan J menentang Armenia, Isnin depan.

Kelayakan sudah menjadi rutin buat pemenang 2014 itu menerusi lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan setakat ini.

Muller, bagaimanapun, berkata adalah penting untuk tidak terbawa-bawa apabila menegaskan mereka masih perlu menguji kemampuan ketika berdepan pembangkang yang lebih mantap kelak.

"Anda sentiasa perlu melihat fakta bahawa kami tidak mempunyai lawan yang amat sukar dalam kumpulan kami," katanya.



"Tetapi kami sentiasa mahukan gol seterusnya jadi ia adalah malam yang hebat."
Reus berkongsi sentimen rakan sepasukannya dengan menambah: "Ia bagus, tetapi anda tidak boleh mengatakan betapa hampirnya kami ke puncak dunia kerana lawan tidak berada pada tahap yang akan mencabar kami.
"Permainan ini masih bagus kerana anda dapat berlatih mengenai aspek penting. Ia menyeronokkan."