Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Kemenangan ke atas Nepal penutup terindah 2025 - Cklamovski

Bernama 18/11/2025 | 15:45 MYT
Cklamovski pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Nepal menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Keputusan penuh perlawanan Nepal 0 - 1 Malaysia. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kemenangan Malaysia ke atas Nepal 1-0 pada aksi kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di laman sendiri malam ini merupakan penutup terindah 2025 buat skuad Harimau Malaya.


Ringkasan AI
  • Kemenangan Malaysia 1-0 ke atas Nepal menandakan penutup terindah 2025 bagi skuad Harimau Malaya dalam aksi kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.
  • Pengendali skuad, Peter Cklamovski, menekankan kejayaan kepada kerjasama dan komitmen barisan kejurulatihan serta pemain dalam mengekalkan rekod tanpa kalah dan menduduki tempat teratas kumpulan.
  • Ketua jurulatih Nepal, Hari Khadka, mengakui kehebatan Malaysia serta permainan berkualiti tinggi yang menunjukkan disiplin tinggi dalam menutup setiap serangan, sambil menyarankan pasukannya perlu belajar daripada pengalaman tersebut.


Pengendali skuad negara Peter Cklamovski berkata kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah selain terus mengungguli carta kumpulan pada aksi kelayakan Piala Asia adalah hasil kerjasama serta komitmen barisan kejurulatihan dan semua pemain.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan ini. Kami mahu menjaringkan gol lagi tetapi apa pun kami menamatkan musim 2025 tanpa kalah dan menduduki tempat teratas kumpulan. Saya berharap peminat Malaysia memberikan sokongan padu," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Cklamovski bagaimanapun mengingatkan anak buahnya untuk berehat seketika dan kekal fokus bagi menghadapi aksi terakhir menentang Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun hadapan.

"Kami tetap akan meneliti perlawanan ini dan fokus pada perlawanan terakhir menentang Vietnam tahun depan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Nepal Hari Khadka akur dengan kekalahan itu sambil menyifatkan Harimau Malaya menampilkan permainan berkualiti tinggi.

"Malaysia merupakan pasukan yang sangat bagus dan sukar untuk ditewaskan kerana mereka bermain dengan baik dan berjaya mengawal setiap serangan yang kami lakukan.

"Kami cuba memberikan tekanan, tetapi pemain Malaysia menunjukkan disiplin yang tinggi dalam menutup setiap ruang yang ada. Ini adalah sesuatu yang perlu kami pelajari," katanya.

Kemenangan ke atas Nepal menyaksikan pasukan negara mengekalkan rekod tanpa kalah selepas lima perlawanan untuk mendahului Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (sembilan mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA


#harimau Malaya #Stadium Nasional Bukit Jalil #Peter Cklamovski #perlawanan terakhir