[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
SUKAN

Kemenangan pertama DPMM FC dibantu wira Haimie

Bernama 30/09/2025 | 22:50 MYT
Pemain Melaka FC, Mohammad Afeeq Iqmal Rosli (jersi merah) diasak Pemain DPMM FC Tommy Mawat Bada pada perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi. -- fotoBERNAMA
MELAKA: Penjaga gol DPMM FC Muhammad Haime Abdullah Nyaring muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan sulung Liga Super selepas menewaskan Melaka FC 1-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Haimie menafikan sepakan Aiman Danish Abdul Azim pada minit ke-26, sebelum sekali lagi cemerlang menggagalkan percubaan import Melaka FC, Danilo Augusto Magalhaes pada minit ke-68.

Kejayaan itu melengkapkan malam gemilang buat DPMM FC selepas penyerang import Jordan Murray menyempurnakan penalti pada minit ke-36 untuk memastikan tiga mata berharga berpihak kepada kelab dari Brunei itu dalam enam perlawanan.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir selepas Jordan Rodrigues dibuang padangselepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain tuan rumah, skuad kendalian Adrian Pennock kental bertahan mengekang asakan bertali arus tuan rumah sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan sulung DPMM FC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kesembilan liga dengan empat mata manakala Melaka FC ditangga ke-10 dengan tiga mata.

-- BERNAMA


#Liga Super #DPMM FC #Melaka FC #Muhammad Haime Abdullah Nyaring