Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Kemenangan suntik semangat JDT untuk berdepan Melbourne City

Bernama 22/11/2025 | 06:20 MYT
Munoz juga memuji anak buahnya yang kekal tenang dan kreatif serta mempamerkan semangat berpasukan yang baik dalam usaha memecahkan pertahanan Melaka FC yang banyak tertumpu di hadapan pintu gol. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz berkata kemenangan 7-1 ke atas Melaka FC malam tadi, merupakan suntikan semangat tepat pada masanya menjelang perlawanan menentang Melbourne City FC dalam saingan Liga Juara-Juara Elit AFC.

Munoz berkata selepas berehat dua minggu, pasukan itu kembali dengan tenaga, karakter dan tekad baharu yang disifatkan beliau sebagai elemen penting dalam persediaan menghadapi perlawanan penting peringkat benua pada Selasa depan.

"Selepas dua minggu tanpa perlawanan, kita tidak tahu bagaimana tahap fizikal pemain tetapi mereka kembali dengan tenaga dan mental yang kuat. Ia perlawanan yang baik dan amat sesuai untuk persiapan kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Munoz juga memuji anak buahnya yang kekal tenang dan kreatif serta mempamerkan semangat berpasukan yang baik dalam usaha memecahkan pertahanan Melaka FC yang banyak tertumpu di hadapan pintu gol.

Menjelang perlawanan seterusnya, Munoz mengingatkan pemain supaya terus berwaspada dan memberikan prestasi terbaik serta perlu pantas menyesuaikan diri dengan corak permainan Melbourne City FC yang lebih kuat dan lebih bersedia berbanding musim lepas.

Sementara itu Ketua Jurulatih Melaka FC K. Devan berkata kesilapan bertahan pada separuh masa kedua menjadi punca utama pasukan itu tewas dengan jaringan besar.

Beliau berkata walaupun Melaka FC dibolosi dua gol awal, namun pemain bertahan dengan baik pada separuh masa pertama sehingga tidak memberi banyak ruang kepada tuan rumah untuk menambah jaringan.

Bagaimanapun kelemahan membaca pergerakan satu sentuhan JDT sebaik babak kedua bermula menyebabkan Melaka FC dibolosi tiga gol dalam tempoh singkat sebelum tuan rumah melengkapkan keseluruhan lima gol pada separuh masa itu.

Devan berkata sasaran utama Melaka FC musim ini ialah untuk kekal dalam Liga Super dengan pasukan sedang mengenal pasti pemain import baharu termasuk dari Afrika, Colombia, Jepun dan Korea untuk dibawa masuk pada tingkap perpindahan kedua bagi memperbaik kedudukan liga.

-- BERNAMA



#JDT #Melaka United FC #Melbourne FC #Xisco Munoz