KEPUTUSAN sama ada untuk melaksanakan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat bergantung kepada negeri masing-masing, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Mohd Yusoff yang juga Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata kenaikan maksimum 20 peratus itu adalah sebagai penanda aras kepada negeri-negeri yang akan melaksanakannya.

"Terpulang kepada negeri masing-masing jika mahu kenakan atau tidak. Dengan adanya penanda aras ini, pasukan tuan rumah tidak boleh sesuka hati meletakkan harga melebihi paras yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-7 bagi penggal 2017-2021 di Pulau Pinang, pada Sabtu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang bersidang pada 15 Mac lalu, membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus harga tiket penyokong pasukan pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah supaya memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.

Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, 500 tiket (kapasiti di antara 20,000 sehingga 40,000) dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih daripada 40,000 tempat duduk.

Mohd Yusoff berkata pihaknya berharap isu itu tidak mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai mahupun penyokong bola sepak tempatan kerana keputusan itu bertujuan untuk mengawal harga tiket daripada terus naik mendadak.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, yang turut hadir dalam sidang media itu menjelaskan status jurulatih skuad bawah 18 tahun negara, Bojan Hodak, akan dimuktamadkan selepas selesai mesyuarat anggota jawatankuasa pasukan kebangsaan yang dijadualkan pada 17 April ini.

Beliau berkata buat masa ini tiada perbincangan mengenai kedudukan jurulatih itu dibuat dalam mesyuarat teknikal mahupun kebangsaan.

"Dalam mesyuarat itu juga akan diadakan undian bagi perlawanan AFC," katanya.

Hodak sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam arena bola sepak negara berhubung kritikannya mengenai pembangunan sistem bola sepak negara.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kegagalan pasukannya untuk mara ke suku akhir Piala Sanix 2019 di Fukuoka, Jepun, bulan ini.