KERAJAAN Jepun telah membuat keputusan untuk membatalkan Sukan Olimpik Tokyo akibat penularan wabak COVID-19, lapor The Times, memetik sumber seorang anggota kanan kerajaan.

Katanya, tumpuan kerajaan Jepun ketika ini ialah untuk mendapatkan slot pada tahun 2032 untuk sukan tersebut.

Bagaimanapun, menurut Reuters, pihak penganjur Olimpik Tokyo belum memberi sebarang respons kepada laporan akhbar itu.

Penganjur dan kerajaan Jepun secara konsisten berjanji akan terus melakukan persiapan untuk temasya itu, yang dijadual bermula 23 Julai ini.

Terdahulu, Olimpik Tokyo ditunda pada Mac tahun lalu, dari tarikh asal pada awal 2020, susulan wabak tersebut.

Mengulas perkembangan terbaru itu, kedua-dua Jawatankuasa Olimpik Australia dan Amerika Syarikat (AS) berkata pada Jumaat, mereka tetap akan menumpukan pada persiapan menghadapi sukan itu seperti yang dijadualkan.

"Sebarang komunikasi rasmi mengenai Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 sepatutnya dibuat oleh IOC, Jawatankuasa Penganjur Tokyo dan kerajaan Jepun," kata Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS menerusi Twitter.

"Kami belum menerima maklumat yang menunjukkan bahawa ia tidak akan diadakan seperti dirancang, dan fokus kami tetap pada kesihatan dan kesediaan atlet Pasukan AS menjelang Sukan Olimpik pada musim panas ini."

Sebelum keputusan untuk menangguhkan Olimpik tersebut tahun lalu, Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) merupakan antara yang pertama mengatakan atlet negaranya tidak akan berkunjung ke Tokyo.

"AOC meneruskan rancangannya untuk memastikan Pasukan Olimpik Australia tiba di Tokyo, bertanding dan pulang dengan selamat dan bebas COVID-19," kata AOC dalam satu kenyataan.

Impak COVID-19 terhadap Jepun kurang parah berbanding banyak negara maju lain.

Bagaimanapun, lonjakan kes jangkitan baru-baru ini mendorongnya untuk menutup sempadannya terhadap warga asing bukan pemastautin.

Ia juga telah mengisytiharkan keadaan darurat di Tokyo dan beberapa kota besar.

Menurut satu tinjauan pendapat baru-baru ini, kira-kira 80 peratus penduduk Jepun tidak mahu Olimpik diadakan pada musim panas ini kerana bimbang kemasukan atlet akan menyebarkan virus lebih merebak.

Susulan itu, kerajaan Jepun sedang mencari jalan untuk menyelamatkan keadaan dengan mengumumkan pembatalan, supaya ia dapat diadakan di Tokyo pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian, menurut laporan  The Times.

"Tiada sesiapa yang mahu jadi orang pertama mengumumkan perkara ini, tetapi, semua pihak setuju, ia terlalu sukar untuk dilaksanakan," lapor The Times, memetik sumber tersebut.

"Secara peribadi, saya tidak fikir ia akan terjadi," tambahnya.

Awal minggu ini, Perdana Menteri Yoshihide Suga berkata, temasya sukan itu "akan membawa harapan dan semangat kepada dunia."

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach turut menegaskan komitmen beliau untuk mengadakan sukan itu tahun ini dalam satu temu bual dengan Kyodo News pada Khamis.

"Buat masa ini, tidak ada sebab untuk kami percaya bahawa Sukan Olimpik Tokyo tidak akan diadakan pada 23 Julai ini," katanya.

Olimpik Tokyo | Sukan Olimpik batal atau tidak?