SUKAN

Kerajaan negeri minta Selangor FC serah laporan insiden kekecohan, prestasi pasukan

Bernama 12/11/2025 | 01:20 MYT
Ketua pasukan Selangor FC Faisal Halim berjumpa dengan penyokong UltraSel di luar stadium untuk menenangkan keadaan selepas pasukannya tewas dalam perlawanan ACL 2 menentang Persib Bandung di Stadium MBPJ, 6 Nov lalu. --fotoBERNAMA
KLANG: Kerajaan negeri meminta pengurusan pasukan bola sepak Selangor FC mengemukakan laporan penuh berhubung insiden kekecohan yang berlaku pada aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) 2025/2026 menentang Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Khamis lepas.


Ringkasan AI
  • Kerajaan negeri Selangor meminta laporan penuh dari pengurusan Selangor FC berkenaan kekecohan yang berlaku semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia menentang Persib Bandung, dengan tujuan meneliti punca kejadian dan langkah penambahbaikan keselamatan serta pengurusan perlawanan.
  • Penyokong Selangor kecewa dengan kekalahan pasukan mereka dan berlaku insiden kekecohan selepas perlawanan, di mana beberapa penyokong memasuki padang dan ada yang mengepung pengurusan pasukan di luar stadium.
  • Kerajaan negeri turut meminta pengurusan Selangor FC mengkaji semula strategi taktikal dan teknikal pasukan, serta menyediakan laporan prestasi dan cadangan penambahbaikan bagi memastikan prestasi pasukan dapat dipertingkatkan.


Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya memandang serius situasi itu dan mahu laporan terperinci dikemukakan bagi meneliti punca serta langkah penambahbaikan daripada aspek keselamatan dan pengurusan perlawanan.

"Kami telah meminta Selangor FC memberikan laporan berhubung insiden berkenaan. Kami mahu memahami keadaan sebenar dan memastikan aspek keselamatan penyokong serta pengurusan acara berada pada tahap terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 (BE2026) Bersama Pemegang Taruh Selangor yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di sini semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad Gergasi Merah tewas 2-3 kepada Persib Bandung, sekali gus menyebabkan mereka tersingkir daripada saingan ACL 2 musim ini.

Keputusan itu kurang disenangi oleh penyokong Selangor yang kemudiannya meluahkan kekecewaan dan melakukan kekecohan selepas perlawanan tamat dengan segelintir daripada mereka meluru ke dalam padang.

Insiden itu bersambung di luar stadium dengan sekumpulan penyokong dilaporkan mengepung laluan keluar stadium dan meminta untuk bersemuka dengan pengurusan pasukan.

"Mengenai isu prestasi pasukan Selangor FC, kerajaan negeri telah meminta pihak pengurusan kelab untuk mengkaji semula strategi taktikal dan teknikal pasukan susulan kekecewaan para penyokong.

"Kami memahami keresahan penyokong dan meminta pihak pengurusan menyediakan laporan terperinci mengenai prestasi dan keperluan penambahbaikan," katanya.

Beliau berkata walaupun Selangor FC kini beroperasi sebagai entiti korporat dan kerajaan negeri tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan dalaman kelab, pihaknya tetap memainkan peranan melalui bentuk sokongan tertentu termasuk kewangan.

Mohd Najwan berkata setakat ini tiada tempoh khusus ditetapkan bagi penyerahan laporan berkenaan, namun laporan itu perlu dikemukakan dalam tempoh munasabah bagi membolehkan kerajaan menilai kedudukan semasa pasukan.

"Sebelum ini memang Selangor FC menghantar laporan prestasi kepada kerajaan negeri secara berkala, cuma untuk kali ini saya minta CEO (Dr Johan Kamal Hamidon) memberikan laporan penyebab prestasi pasukan dilihat menjunam pada ketika ini.

"Tujuan laporan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, kerajaan negeri mahu memastikan penambahbaikan dapat dibuat secara terancang demi kepentingan pasukan dan penyokong," katanya.

Beliau berharap agar semua pihak termasuk penyokong terus memberikan sokongan kepada Selangor FC dalam usaha memperkukuh prestasi pasukan.

-- BERNAMA


#Selangor FC #Mohd Najwan Halimi #kekecohan di Stadium MBPJ #Liga Juara-Juara Asia 2