[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Kerja naik taraf Pusat Skuasy Nasional pada fasa akhir - SRAM

Bernama 10/09/2025 | 00:20 MYT
Gerard Monteiro berkata geran berjumlah RM1 juta yang diterima daripada KBS akan difokuskan kepada pembangunan pemain remaja dan program akar umbi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Skuasy Raket Kebangsaan (SRAM) menjangkakan gelanggang di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil yang sedang menjalani proses akhir naik taraf bakal digunakan menjelang suku pertama tahun hadapan.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Gerard Monteiro berkata fasa akhir itu melibatkan proses penggantian gelanggang selepas kerosakan berlaku semasa kerja-kerja baik pulih bumbung dijalankan sebelum ini.

"Bumbung, sistem penyaman udara dan paip semua sudah selesai. ... Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memerlukan peruntukan tambahan dan memanggil tender baharu untuk baik pulih gelanggang," katanya kepada pemberiita baru-baru ini.

Venue berkenaan bakal menempatkan masing-masing lima gelanggang kaca dan biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata geran berjumlah RM1 juta yang diterima daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan difokuskan kepada pembangunan pemain remaja dan program akar umbi.

"Ia juga akan digunakan bagi menampung kos penyertaan pemain dalam kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan tahap permainan dan pendedahan mereka pada peringkat lebih tinggi," katanya.

Sebahagian daripada geran berkenaan turut diagihkan kepada persatuan skuasy negeri.

-- BERNAMA



#Gerard Monteiro #Pusat Skuasy Nasional #naik taraf #Skuasy