[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
SUKAN

Khabib respons penggantungan 18 bulan McGregor

Sinar Harian 09/10/2025 | 00:30 MYT
Kiri, Khabib Nurmagomedov. Kanan, Conor McGregor. - Gambar fail
BEKAS juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov tampil memberi reaksi susulan penggantungan 18 bulan yang dikenakan terhadap seteru lamanya, Conor McGregor selepas pelanggaran dasar antidoping UFC (UFC ADP).

Kedua-dua bekas juara dunia itu pernah terbabit dalam perseteruan paling hangat dalam sejarah UFC, terutama selepas pertarungan berprofil tinggi di UFC 229 pada 2018 yang menyaksikan Khabib menewaskan McGregor melalui kuncian pada pusingan keempat.

Terbaru, Khabib memuat naik laporan berita ESPN mengenai hukuman tersebut di Instagram kepada lebih 40 juta pengikutnya.

Namun, Khabib didapati secara sengaja memotong wajah McGregor daripada gambar yang dikongsinya dan tidak menulis sebarang kapsyen, seolah-olah membiarkan berita itu berbicara sendiri.

Tidak lama selepas itu, Khabib turut berkongsi sedutan klip video pertarungan UFC 229 yang memaparkan diri sedang membelasah McGregor menerusi aksi ground and pound di pusingan kedua.

Khabib turut berkongsi sedutan pertarungan dengan McGregor di Instagram kepada lebih 40 juta pengikutnya. Foto Agensi/Sinar Harian


Terdahulu, menurut kenyataan rasmi Badan Antidoping Sukan Tempur (CSAD), McGregor digantung selepas gagal menyerahkan maklumat lokasi ujian doping sebanyak tiga kali sepanjang 2024.

“McGregor terlepas tiga percubaan pengambilan sampel biologi dalam tempoh 12 bulan yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran di bawah Polisi Antidoping UFC,” jelas kenyataan itu.

UFC turut menjelaskan bahawa McGregor ketika itu sedang pulih daripada kecederaan dan tidak bersiap untuk sebarang pertarungan, namun tetap dikenakan tindakan disiplin.

Tempoh penggantungan bermula pada 20 September 2024 dan akan berakhir pada 20 Mac 2026, selepas hukuman asal selama 24 bulan dikurangkan berikutan kerjasama penuh yang diberikannya sepanjang siasatan.

Kali terakhir McGregor beraksi di Oktagon adalah di UFC 264 pada Julai 2021 yang menyaksikan bintang Ireland itu tewas kepada Dustin Poirier seawal pusingan pertama. - Sinar Harian







#Khabib Nurmagomedov #Conor McGregor #doping #UFC