BAJU Dustin Poirier yang dipakai oleh Khabib Nurmagomedov selepas perlawanan di UFC 242 berjaya dijual dengan harga AS$100,000 (RM417,230) di mana wang tersebut akan diserahkan kepada tabung kebajikan.

Poirier, menerusi kenyataan di laman Twitternya hari ini mengesahkan bahawa juara lightweight UFC itu telah menunaikan janjinya untuk mendermakan hasil jualan baju tersebut.

Memetik laporan MMA Junkie, wang itu akan diberikan kepada The Good Fight Foundation, sebuah tabung amal yang ditubuhkan sendiri oleh Poirier bersama isterinya, Jolie.

“Baru sahaja bercakap di telefon dengan (Presiden UFC) Dana White. Dia memaklumkan wang itu telah diserahkan kepada The Good Fight Foundation. Saya sangat bersyukur atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan. Terima kasih semua!” katanya dalam tweet tersebut.


Difahamkan, kutipan dana The Good Fight Foundation kali ini adalah bagi membantu membina perigi air di sekolah anak-anak yatim di Uganda.

Sasaran awal dana tersebut adalah AS$25,000 (RM104,300), namun kini jumlahnya sudah pun jauh melangkaui angka tersebut.

Sementara itu, The Good Fight Foundation menerusi akaun Twitter rasminya mengucapkan terima kasih kepada Khabib.

“Terima kasih Khabib atas sumbangan ikhlas anda kepada The Good Fight dan kerana menjadi lelaki yang berpegang kepada kata-katanya. Sumbangan anda dapat membantu ramai orang!” tulis tweet berkenaan.


Khabib pada minggu lalu mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas menumpaskan Poirier selaku juara interim lightweight menerusi 'submission' pada minit 2:06 pusingan ketiga.

BACA: Perkara nombor satu dalam MMA ialah hormat - Khabib

BACA: Khabib tumpaskan Poirier, kekalkan kejuaraan lightweight UFC


Selepas perlawanan, Khabib dan Poirier saling berpelukan sebagai tanda hormat, dan bertukar baju-t yang tertera nama masing-masing.

Jaguh dari Dagestan, Rusia itu kemudian berjanji akan membuat kebajikan dengan membantu menjual baju yang dipakainya itu dan hasil keuntungannya akan diserahkan kepada tabung amal Poirier.