IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.

Beliau bagaimanapun menafikan laporan yang mendakwa peletakan jawatan itu adalah susulan prestasi buruk pasukan tersebut.

"Tidak. Saya memang sudah lama berhasrat untuk meletak jawatan.

"Seperti yang sudah tersebar, saya dan Datuk Sham Mat Sahat akan meletakkan jawatan dalam Perak FC dan PAFA," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota itu berkata segala urusan peletakan jawatan secara rasmi akan dilakukan selepas beliau selesai menjalani kuarantin seperti diarahkan kepada hampir kesemua ADUN yang menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada minggu lepas.

"Selesai sahaja kuarantin pada Khamis ini, ia akan diuruskan secara rasmi," katanya.

Perak FC gagal mempertahankan rekod untuk kekal bersaing dalam kancah bola sepak Liga Super musim hadapan malah lebih perit ia berlaku sempena sambutan 100 tahun pasukan pada tahun ini.

Jumaat lepas, skuad bimbingan Mohd Shahril Nizam Khalil itu sah tersingkir ke Liga Premier selepas tumpas 1-2 kepada Melaka United dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Hang Jebat.

Kekalahan itu juga menyaksikan The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan yang bertanding dengan mengumpul 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan 14 kekalahan.

-- BERNAMA