Datuk Ong Kim Swee kini dalam misi mencari pemain paling layak untuk mewakili skuad Harimau Malaya pada perlawanan akhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 5 Mac ini.

Kelibat jurulatih Harimau Muda A berusia 44 tahun itu dilihat menyaksikan perlawanan Piala FA antara Kelantan dan Sabah di Stadium Sultan Muhammad ke IV di sini malam Rabu.

Kim Swee, pengendali sementara skuad Harimau Malaya itu, berkata misi utamanya dalam menyaksikan perlawanan itu adalah untuk melihat dan menilai prestasi semasa pemain kedua-dua pasukan sebelum mana-mana pemain dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan.

"Kota Baharu adalah destinasi pertama saya selepas dilantik selaku pengendali skuad kebangsaan dan saya mahu lihat perkembangan semua pemain tempatan," katanya kepada pemberita di sini.

Kim Swee berkata beliau akan meneruskan usahanya untuk mencari dan memilih pemain terbaik dengan menjelajah ke gelanggang lain selepas ini.

"Apa yang saya lihat, sedikit rombakan akan dilakukan dalam skuad kebangsaan. Kita mahu mendapatkan pemain yang benar-benar layak dan cergas untuk diserap dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi cabaran besar menentang Yemen nanti," katanya.

Ditanya mengenai penilaiannya terhadap kapten Kelantan, Mohd Badri Mohd Radzi, jurulatih itu berkata peluang terbuka kepada semua pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Pada masa sama, beliau mengakui telah mengenal pasti beberapa pemain namun masih perlu menilai beberapa pemain pertahanan.

"Bukan sahaja Piya (Mohd Badri) malah semua pemain akan diberi peluang sama dan pemain yang menyerlah akan diberi peluang (menyertai Harimau Malaya).

"Beberapa pemain sudah dikenal pasti tetapi saya masih lagi mengintai pemain lain bagi mengisi kekosongan di beberapa posisi," katanya.

"Dalam masa dua minggu ini saya akan membuat keputusan untuk memanggil pemain yang diperlukan. Bagi saya, bahagian pertahanan antara posisi yang amat ketara untuk diperbaiki," jelas Kim Swee.