[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
SUKAN

Kim Wai kembali ke BAM sebagai penolong jurulatih beregu lelaki

Bernama 30/10/2025 | 21:00 MYT
Chang Kim Wai (gambar) akan bekerjasama dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi serta jurulatih Miftakh dalam usaha memperkukuh lagi skuad beregu lelaki negara. - Gambar Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Khamis mengumumkan pelantikan bekas pemain negara, Chang Kim Wai sebagai penolong jurulatih beregu lelaki berkuat kuasa 4 Nov ini.

Jurulatih berusia 49 tahun itu akan bekerjasama dengan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi serta jurulatih Miftakh dalam usaha memperkukuh lagi skuad beregu lelaki negara.

"Dalam peranan baharu ini, Kim Wai akan membantu merancang dan melaksanakan program latihan berprestasi tinggi, dengan tumpuan kepada pembangunan taktikal, keserasian pasangan serta peningkatan konsistensi dalam kalangan pemain beregu lelaki elit dan pelapis negara," menurut kenyataan BAM pada Khamis.

Untuk rekod, Kim Wai pernah meraih pingat perak Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2002, selain membantu skuad negara muncul naib juara Piala Thomas 2002.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mengalu-alukan kehadiran Kim Wai dalam pasukan kejurulatihan BAM.

"Rekod pencapaian serta pemahamannya yang mendalam terhadap corak permainan beregu menjadikan beliau satu tambahan berharga dalam pasukan kejurulatihan di bawah bimbingan Herry. Kami yakin kombinasi ini mampu membantu beregu negara mencapai tahap lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Kim Wai menzahirkan penghargaan dan rasa teruja atas peluang yang diberikan kepadanya.

"Adalah satu penghormatan untuk kembali berkhidmat kepada badminton Malaysia. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Herry, Miftakh dan para pemain bagi membawa kejayaan lebih besar buat negara," katanya.

-- BERNAMA





#BAM #Sukan Komanwel #Piala Thomas #beregu negara #Chang Kim Wai