"Pasrah," itu sahaja boleh gambarkan perasaan penyerang skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri apabila mengetahui status perlawanan Palestin dan Malaysia kekal di Hebron.

Hazwan Bakri harap segala jaminan keselamatan diberikan oleh pihak Palestin bukan sekadar janji kosong.

Yakin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa Dunia (FIFA) telah buat pemeriksaan menyeluruh, penyerang Selangor itu hanya mahu beri terbaik sepanjang di bumi Hebron.

Pada Selasa lalu, FIFA difahamkan telah menolak rayuan kedua dikemukakan oleh FAM untuk beraksi di stadium berkecuali atau diinjak ke tarikh baharu.

"Kena teruskan bermain sebab kita tidak boleh nak buat apa. Insyaallah mereka akan cuba sebaik mungkin untuk keselamatan kita di sana nanti," katanya.

Menjelang aksi menentang Felda dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini, Hazwan berkata dia tidak akan mengambil mudah jika diturunkan biarpun Selangor tiada kerugian apa-apa jika tewas.

Tambahan keputusan kedua-dua pasukan sering kali berakhir sengit, dia mahu Selangor menitik noktah cabaran di saingan kumpulan dengan kemenangan.

"Perlawanan Selangor dengan Felda memang sengit sebab pemain tempatan import mereka yang berpengalaman sangat membantu. Kita akan ikut taktikal jurulatih macam mana," tambahnya.

Dengan ini perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018, berdepan Palestin akan tetap berlangsung di Hebron pada 12 November nanti, dengan sepak mula dijadual 9 malam.