BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad menyambut baik keputusan pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) dengan berpendapat Menteri Belia dan Sukan Malaysia Khairy Jamaluddin sudah memikirkan perkara itu semasak-masaknya ketika temasya Sukan Olimpik Rio semakin hampir.

"Saya kira YB menteri sudah memikirkan perkara ini semasak-masaknya apabila beliau membuat keputusan untuk membawa Dr Mohd Khairi Zawi datang ke ISN untuk menerajui organisasi yang penting ini," katanya ketika ditemubual oleh Nadi Arena.

Mohd Khairi, Seorang ahli akademik berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dilantik sebagai CEO ISN yang baharu berkuatkuasa 15 Jan ini. Beliau menggantikan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang telah berkhidmat di ISN sejak 2013.

"Pada saya tidak banyak kesan yang akan timbul kepada program persediaan Olimpik di Rio oleh kerana perkara itu telah diatur, siapa atlet yang patut layak untuk sertai mana-mana pertandingan, memandangkan tempoh untuk melayakkan diri berakhir pada Mei ini. Saya fikir tiada masalah besar.

"Saya fikir, menteri membuat keputusan menggantikan CEO ISN pada masa ini memandangkan sasaran yang realistik yang telah ditetapkan pada Olimpik 2020. Itu jangka masa yang munasabah bagi program podium bagi Sukan Olimpik.

"Jadi pertukaran CEO ini memberi ruang dan masa kepada pemimpin baru selama 2 tahun untuk Sukan Komanwel dan 4 tahun untuk Sukan Olimpik di Tokyo," kata Mazlan yang juga panel penasihat sukan.

Mohd Khairi, 52, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Program Siswazah (Doktor Falsafah) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempunyai kelulusan PhD pengkhususan dalam bidang Kemahiran Motor dan Biomekanik Sukan.

Mohd Khairi juga pernah menjadi juruperunding semakan Dasar Sukan Negara 1998, juruperunding Pelan Pembangunan Sukan Negeri Terengganu serta pelan Pembangunan Sepak Takraw 10 tahun Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Beliau juga pernah menjadi anggota panel penggubal Kurikulum Kejurulatihan Sains Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 2006-2008 serta anggota panel Jawatankuasa Khas Teknikal dan Saintifik bagi Program Gemilang 2006.