KL City dapat khidmat Jordan Mintah daripada Terengganu

Astro Arena
Jun 21, 2022 01:30 MYT
Mintah dijangka memulakan latihan pertama di Kuala Lumpur hari ini (Selasa). - Astro ARENA
KUALA Lumpur City FC akan mendapatkan khidmat penyerang Ghana, Jordan Mintah, secara pinjaman daripada Terengganu FC.
Ia dilihat sebagai penawar bagi ketumpulan jentera serangan pasukan Warga Kota itu selepas dua penyerang utama, Dominique da Sylva dan Kyrian Nwabueze, mengalami kecederaan jangka panjang.
Ketiadaan dua pemain itu menyaksikan ketua jurulatih, Bojan Hodak, terpaksa mempertaruhkan Romel Morales di bahagian serangan biarpun pemain itu lebih selesa beraksi di bahagian tengah.
Dengan kehadiran Mintah, ia diharapkan akan melengkapkan skuad KL City, biarpun tidak dapat beraksi dalam perlawanan pertama Piala AFC menentang kelab Indonesia, PSM Makassar, pada Jumaat ini.
Mintah akan memulakan latihan pertama di Kuala Lumpur pada Selasa ini.
#Jordan Mintah #KL City FC #Terengganu FC #pinjaman