RAMALAN KEPUTUSAN:

KL City 2 - 0 Penang FC
Perak FC 1 - 1 KDA FC
Kelantan FC 1 - 0 Kuching City FC
Sabah FC 2- 0 PDRM FC



PERLAWANAN yang menjadi tumpuan kini ialah KL City FC menentang Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

KL City, naib juara Piala AFC musim lalu membuat persediaan rapi untuk musim baharu dengan membawa masuk nama-nama hebat dalam kancah bola sepak tempatan.

Tchetche Kipre, Herlison Caion antara yang dibawa masuk Bojan Hodak untuk memperkuatkan pasukan. Pertahanan turut diperkukuh dengan kehadiran pemain tinggi lampai dari Croatia, Matko Zirdum.

Penang juga membuat persiapan rapi dengan membawa masuk ramai pemain antaranya import dari Lubnan, Soony Saad selain pemain yang pernah menjadi tonggak tengah skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Bagaimanapun, beraksi di padang lawan, Penang FC dijangka berhadapan kesukaran, apatah lagi dengan barisan serangan KL City dibarisi Kipre, Caion, Rafael Morales, Paulo Josue serta Zhafri Yahya.

Satu lagi perlawanan menarik malam ini ialah pertemuan antara Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Kedah memasuki era baharu di bawah kendalian ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang cemerlang membawa Terengganu menjadi naib juara liga musim lalu.

Beberapa pemain berkualiti dibawa masuk terutamanya Kalamullah Al-Hafiz, Manuel Ott dan Lee Tuck.

Kedah dilihat banyak pemerhati bola sepak sebagai antara pasukan yang mampu memberi cabaran kepada JDT musim ini.

Bagaimanapun, lawannya Perak FC tidak wajar dipandang mudah.

Di bawah kendalian Lim Tiong Kim, Perak pastinya akan menampilkan corak bola sepak berbeza, apatah lagi mengambil kira pengalaman dimiliki bekas penolong jurulatih Bayern Munich bawah 19 tahun itu.

Tiong Kim menampilkan skuad yang segar dengan kebanyakan pemain dibawa masuk adalah muda. Antara yang menjadi tumpuan kepulangan Hadi Fayyadh selepas lebih tiga tahun berkelana di Jepun.

Beraksi di Stadium Perak, The Bos Gaurus sudah tentu mahu meraih mata penuh, namun KDA FC bukanlah calang-calang pasukan. Perlawanan dijangka sengit.

Saksikan siaran langsung perlawanan di antara Kelantan FC dan Kuching City di saluran 803 Astro ARENA BOLA pada jam 5.30 petang ini; dan Sabah FC vs PDRM FC (saluran 804 Astro ARENA BOLA 2 jam 8.15 malam).

Perlawanan seterusnya melibatkan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC (saluran 803 Astro ARENA BOLA, 9 malam) dan KL City FC lawan Penang FC (Saluran TV OKEY 9 malam).


* Syukri Shaari merupakan penerbit Astro AWANI yang memberikan ulasan tentang Liga Bolasepak Malaysia menerusi slot 'Volley Bersama SuperSyuk'.