KL Maraton kembali ke tarikh asal 4 Okt

Bernama
Julai 16, 2015 12:35 MYT
KHAIRY: Kami akhirnya berpendapat KL Maraton Standard Chartered kembali ke tarikh asalnya pada 4 Okt. -Gambar fail
Acara KL Maraton Standard Chartered akan kembali dilangsungkan pada tarikh asalnya 4 Okt depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam akaunnya di laman sosial Facebook berkata keputusan mengembalikan acara itu ke tarikh asal diputuskan bersama oleh kementerian, Standard Chartered, Dirigo Events dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
"Saya secara peribadi membaca pelbagai komen mengenai maraton itu dan mengadakan beberapa perbincangan dengan penganjur dan pemegang taruh.
"Kami akhirnya berpendapat KL Maraton Standard Chartered kembali ke tarikh asalnya pada 4 Okt, selepas mengambil kira beberapa isu berbangkit," katanya hari ini.
Khairy turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat perubahan awal tarikh itu dan berharap rakyat Malaysia akan sama-sama memberi sokongan kepada Hari Sukan Nasional pada 10 Okt nanti.
Isnin lepas, Khairy mengumumkan maraton itu akan dianjakkan ke 10 Okt sebagai acara utama sempena Hari Sukan Nasional yang pertama kali dilangsungkan.
#Dirigo Events #Hari Sukan Nasional #KL Maraton Standard Chartered