[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Klich dedah masalah Inter Miami gara-gara Messi

Sinar Harian 24/09/2025 | 01:10 MYT
Setakat ini, Messi (gambar) sudah beraksi sebanyak 76 kali bersama Miami, menjaringkan 64 gol dan mencatat 31 bantuan jaringan. - Foto Agensi/Sinar Harian
BEKAS bintang Liga Perdana Inggeris, Mateusz Klich memberi kritikan pedas terhadap Lionel Messi dan Inter Miami serta memberi amaran kepada pemain lain supaya tidak menyertai kelab Major League Soccer (MLS) tersebut.


Ringkasan AI
  • Mateusz Klich mengkritik keras Inter Miami, mendakwa kelab itu tidak teratur, dikawal keluarga Messi, dan suasana kerjanya bermasalah.
  • Walaupun Messi mencatat banyak gol dan bantuan jaringan sejak menyertai Miami, Klich tetap tidak mengesyorkan pemain lain untuk sertai kelab tersebut.
  • Sebaliknya, Klich mencadangkan kelab MLS lain seperti New York Red Bull, New York City, Columbus Crew, Cincinnati, Nashville SC, Portland dan Seattle yang dianggap lebih baik dari segi fasiliti dan suasana.


Messi yang menyertai Miami pada 2023 selepas era gemilangnya bersama Barcelona dan tempoh singkat di Paris Saint-Germain, kini dianggap ikon utama kelab milik David Beckham itu. Bagaimanapun, menurut Klich, keadaan di sana jauh daripada indah.

“Saya tidak cadangkan Miami selagi Messi ada di sana. Ia satu bencana. Ramai orang keluar, jurulatih dan fisioterapi juga meninggalkan pasukan. Dari segi organisasi, ia sangat teruk.

“Ayah Messi pada dasarnya mengawal kelab. Semua bercakap dalam bahasa Sepanyol dan tiada apa boleh dilakukan tanpa persetujuan mereka. Kelab itu juga sebenarnya terletak 45 hingga 50 minit dari pusat bandar Miami,” katanya, dipetik Foot Truck.

Klich pernah menyarung jersi Leeds United dari 2017 hingga 2023 dengan 195 penampilan, termasuk 82 aksi dalam Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Marcelo Bielsa. Dia kemudian berpindah ke Amerika Syarikat, bermain untuk DC United dan Atlanta United sebelum berdepan Messi di MLS pada 2024.

Setakat ini, Messi sudah beraksi sebanyak 76 kali bersama Miami, menjaringkan 64 gol dan mencatat 31 bantuan jaringan. Namun, Klich tetap tidak teruja dengan pengalaman menentang legenda Argentina itu.

Sebaliknya, pemain antarabangsa Poland itu menyarankan pemain lain mempertimbangkan kelab-kelab MLS lain yang lebih teratur dan menarik.

“Saya akan cadangkan New York. Red Bull sudah ada stadium yang lebih baik, dan City juga sedang membina stadium yang hebat. Columbus Crew dan Cincinnati mempunyai stadium serta fasiliti bagus, tetapi kehidupan di sana membosankan.

“Saya juga cadangkan Nashville SC kalau ada peluang. Tempatnya sangat indah, ibu negara (muzik) Amerika. Portland dan Seattle ada suasana meriah, tapi ia ibarat berada di hujung dunia,” ujarnya. - Sinar Harian





#Lionel Messi #Mateusz Klich #Inter Miami #kelab MLS