PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, bersimpati kepada penyokong Chelsea tetapi bersetuju dengan keputusan Kerajaan United Kingdom (UK) untuk mengenakan sekatan terhadap Roman Abramovich.

Pemilik Chelsea itu merupakan antara tujuh oligarki Rusia yang dibekukan asetnya sejak Khamis lalu berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Abramovich, yang keseluruhan hartanya di UK dianggarkan sekitar £9.4 bilion (RM51.41 bilion), sebelum ini dilihat bergambar dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Chelsea diberikan lesen sukan khas untuk meneruskan urus niaga -- dan beraksi -- sebagai sebuah kelab bola sepak tetapi satu lagi sekatan telah dikenakan ke atas mereka.

Ia termasuk sekatan penjualan tiket, di mana hanya pemegang tiket semusim dibenarkan untuk menghadiri perlawanan manakala The Blues juga tidak boleh membeli, menjual atau menawarkan kontrak baru buat mana-mana pemain.

Ia menimbulkan keraguan mengenai masa depan kelab itu tetapi Klopp menegaskan bahawa keputusan yang diambil pihak kerajaan negara itu merupakan sesuatu yang tepat berdasarkan apa yang sedang berlaku di Ukraine.

"Thomas (Tuchel) dan saya saling mengenali tetapi kami tidak terlalu rapat untuk berbincang mengenai apa yang sedang berlaku," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton and Hove Albion malam ini.

"Benar kami ada bercakap tentang perlawanan tetapi tidak mengenai momen lain. Sudah pasti ia bukan situasi yang dimahukan buatnya, pemain dan pekerja di Chelsea.

"Satu-satunya orang yang bertanggungjawab adalah Vladimir Putin. Saya tidak tahu apa peranan Roman Abramovich dalam perkara seperti ini.

"Tetapi sepanjang beberapa tahun lalu kita dapat lihat bahawa mereka agak rapat. Saya fikir apa yang Kerajaan British lakukan merupakan sesuatu yang tepat, sejujurnya 100 peratus.

"Ia masih bukan sesuatu yang baik buat mereka di Chelsea dan penyokong mereka, saya faham perkara itu. Tetapi saya fikir apa yang kerajaan buat merupakan sesuatu yang betul," katanya.