[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
SPORTS

[KOLUMNIS] Pelajar bukan mesin juara: Prihatin terhadap kecederaan, lindungi masa depan atlet muda

Zulkhairi Azam 13/04/2025 | 05:45 MYT
Tujuan utama penglibatan murid di dalam sukan adalah untuk memupuk semangat juang, disiplin, semangat setia kawan dan jati diri yang kuat di dalam usaha membentuk generasi yang berdaya saing, memiliki adab terpuji dan maju. - Gambar hiasan
SETIAP tahun, apabila musim kejohanan sukan sekolah tiba — sama ada peringkat zon, daerah mahupun negeri — sekolah-sekolah di seluruh Malaysia menjadi lebih meriah dengan sorakan, latihan intensif dan semangat kesukanan yang membara. April hingga Jun merupakan antara tempoh paling aktif dalam kalendar sukan sekolah di Malaysia untuk tahun 2025 ini. Pelbagai kejohanan peringkat sekolah, zon, dan daerah sedang giat untuk dianjurkan — dari bola sepak MSSM, ragbi bawah 15 tahun, olahraga, hingga ke sukan raket dan permainan berpasukan lain. Atlet-atlet muda kita turun ke padang dan gelanggang membawa nama sekolah, menyarung jersi kebanggaan dan bersedia mengharungi cabaran demi satu matlamat: kemenangan.

Ringkasan AI
  • Musim kejohanan sukan sekolah di Malaysia berlangsung dari April hingga Jun, dengan pelbagai acara seperti bola sepak, ragbi, olahraga, dan sukan raket. Atlet muda bersaing membawa nama sekolah mereka dengan semangat kesukanan yang tinggi.
  • Kecederaan dalam sukan sekolah sering diabaikan, menyebabkan murid tidak menerima rawatan yang betul. Ini boleh membawa kepada tekanan psikologi dan gangguan emosi, serta mengurangkan minat murid terhadap sukan.
  • Sekolah perlu bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan pengurusan kecederaan dan keselamatan sukan. Ini termasuk menyediakan kit pertolongan cemas, pelan kecemasan, dan kehadiran petugas perubatan bertauliah semasa kejohanan.

Namun dalam keghairahan memburu kejayaan itu, satu perkara yang sering kali terlepas pandang ialah aspek kebajikan dan keselamatan murid, khususnya apabila mereka mengalami kecederaan. Kecederaan dalam sukan bukanlah perkara luar biasa, tetapi yang menjadi persoalan besar ialah bagaimana kecederaan ini ditangani — atau lebih menyedihkan, mungkin dipandang remeh dan diabaikan sepenuhnya.
Kajian oleh Adnan et al. (2020) mendapati bahawa antara kecederaan yang kerap berlaku dalam kalangan atlet sekolah termasuk terseliuh, koyakan ligamen, kecederaan otot dan hentakan sendi. Malangnya, ramai murid yang cedera tidak menerima rawatan awal yang betul. Malah ada yang dipaksa terus bermain atas alasan mereka pemain utama, walaupun tubuh mereka sudah memberi isyarat untuk berehat.
April hingga Jun merupakan antara tempoh paling aktif dalam kalendar sukan sekolah di Malaysia untuk tahun 2025.
Apa yang lebih membimbangkan, kajian luar oleh Emery et al. (2015) menunjukkan bahawa kecederaan sukan yang tidak ditangani dengan betul boleh membawa kepada tekanan psikologi, gangguan emosi, dan akhirnya menyebabkan murid hilang minat terhadap sukan sepenuhnya — fenomena yang dikenali sebagai sport drop-out atau burnout. Ini bermakna, seorang murid yang dulunya cemerlang dalam sukan boleh berubah menjadi pasif, trauma, dan menjauhkan diri daripada aktiviti fizikal hanya kerana satu insiden yang tidak ditangani secara profesional.
Hakikatnya, kesan kecederaan bukan sahaja menjejaskan prestasi dalam sukan, malah turut memberi kesan terhadap pencapaian akademik, keyakinan diri, dan kesejahteraan emosi. Malah, dalam jangka masa panjang, murid-murid ini lebih cenderung menjadi tidak aktif fizikal dan berisiko mengalami penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan hipertensi apabila dewasa kelak.
Kemenangan tidak seharusnya menjadi satu-satunya matlamat. Budaya “menang mesti menang” ini perlu dinilai semula. Kita tidak mahu melihat guru dan pengurusan sekolah menolak ke tepi kesihatan murid semata-mata untuk memburu trofi dan mengejar pengiktirafan. Perlu difahami bahawa setiap anak yang dihantar ke pertandingan sukan membawa harapan, bukan untuk dikorbankan demi angka kejuaraan. Perlu diingat semula tujuan utama penglibatan murid di dalam sukan adalah untuk memupuk semangat juang, disiplin, semangat setiakawan dan jati diri yang kuat di dalam usaha kita semua untuk membentuk lapisan generasi yang berdaya saing, memiliki adab terpuji dan maju.
Di sinilah pihak sekolah atau pun pejabat pendidikan daerah/negeri perlu memainkan peranan lebih besar. Sebagai langkah ke hadapan, sekolah wajar menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam yang berkaitan seperti Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi MARA, dan lain-lain.
Atlet muda bersaing membawa nama sekolah mereka dengan semangat kesukanan yang tinggi. - Gambar hiasan
Melalui program seperti bengkel, ceramah dan kursus latihan, pihak sekolah boleh mendedahkan guru-guru berkaitan pengurusan kecederaan, teknik pencegahan risiko, latihan suaian fizikal yang sesuai serta kaedah rawatan awal. Ini akan memperkasa guru-guru dengan ilmu yang lebih tepat dan terkini, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dalam pengurusan sukan di sekolah. Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan warga sekolah, tetapi juga membina jaringan strategik yang bermanfaat untuk jangka panjang.
Selain itu, sekolah juga boleh menambah baik infrastruktur sokongan sukan seperti penyediaan kit pertolongan cemas yang lengkap, pelan kecemasan semasa pertandingan, dan pemantauan status kesihatan murid sebelum serta selepas kejohanan. Kehadiran petugas perubatan bertauliah sewaktu kejohanan sukan sekolah juga perlu dijadikan keperluan asas, bukan pilihan. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu menangani kecederaan dengan lebih profesional, tetapi juga memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak mereka berada dalam tangan yang selamat.
Akhir sekali, kita harus ingat bahawa kejayaan sebenar bukan hanya dinilai berdasarkan pingat emas atau kejuaraan daerah. Kejayaan sebenar ialah apabila seorang murid dapat menikmati pengalaman bersukan dengan gembira, selamat dan sihat, serta membina minat yang kekal hingga dewasa. Anak-anak ini ialah pewaris negara — dan mereka wajar dilindungi, bukan diabaikan.

* Dr Zulkhairi Azam ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Murid), Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Universiti Teknologi MARA dan boleh dihubungi melalui emel zulkhairiazam@uitm.edu.my.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#sukan sekolah #kecederaan atlet #atlet sekolah #isu sekolah