Komanwel 2022: Pemain ping pong wanita negara kejutkan India untuk mara separuh akhir

Bernama
Julai 31, 2022 00:03 MYT
Ho Ying membuat hantaran ketika menentang Reeth Teenison dalam acara Ping Pong Berkumpulan Wanita peringkat suku akhir sempena Sukan Komanwel Birmingham 2022 di National Exhibition Centre pada Sabtu. --fotoBERNAMA
BIRMINGHAM: Skuad ping pong wanita negara berada di landasan tepat untuk membawa pulang sebutir pingat selepas melakarkan kejutan dengan menyingkirkan juara bertahan India, 3-2, pada saingan suku akhir di temasya Sukan Komanwel Brimingham 2022, di sini, pada Sabtu.
Gandingan negara Karen Lyne-Alice Chang membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan Reeth Teenison-Sreeja Akula, 11-7, 11-6, 5-11, 11-6, dalam acara beregu.
Bagaimanapun, India menyamakan kedudukan selepas Manika Batra bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Ho Ying. 8-11, 5-11, 11-8, 11-9, 11-3 dalam acara perseorangan.
Namun, Karen mencetuskan semangat kebangkitan apabila menundukkan Batra, 11-6, 11-3, 11-9 sebelum Ho Ying menebus kekecewaan dengan mengesahkan tempat ke separuh akhir apabila menewaskan Teenison,10-12, 11-8, 6-11, 11-9, 11-9.
Malaysia akan berdepan dengan Wales pada saingan separuh akhir Ahad.
Sebelum itu, Wales melangkah ke separuh akhir dengan mengalahkan tuan rumah, England, 3-0.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel #ping pong #Malaysia #India