SUKAN

Kompleks Bola Sepak Perak bakal jadi gelanggang rasmi Perak FA

Bernama 26/07/2025 | 01:50 MYT
Mohd Azhar bercakap pada sidang media selepas perlawanan persahabatan di antara Perak FA dan Melaka FC di Kompleks Bola Sepak Perak, Ipoh, semalam. --fotoBERNAMA
IPOH: Kompleks Bola Sepak Perak bakal menjadi gelanggang rasmi kepada Perak FA bagi mengharungi Liga A1 Semi Pro musim ini yang dijadualkan bermula pada 3 Ogos ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata pihaknya telah meminta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk melakukan pemeriksaan penuh terhadap kemudahan padang dan fasiliti di kompleks yang dibuka pada 2019 itu.

"Secara dasarnya saya rasa penggunaan kompleks itu sebagai gelanggang rasmi pasukan tidak menjadi masalah, namun perlu memenuhi beberapa syarat sebelum kelulusan rasmi diberikan.

"Penambahbaikan pada kompleks ini juga mungkin menjadi satu daripada syarat dan saya fikir ia sesuatu yang baik kerana selain untuk bola sepak, kompleks ini boleh menjadi lokasi kepada pelbagai aktiviti lain," katanya ketika ditemui di Kompleks Bola Sepak Perak, di sini semalam.

Mohd Azhar berkata usaha menjadikan kompleks itu sebagai gelanggang rasmi juga disebabkan lokasi sedia ada, iaitu Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) agak jauh dan pusat latihan pasukan yang terletak di Ipoh.

"Untuk perlawanan pertama menentang UM Damansara United pada 4 Ogos ini, kami akan bermain di Stadium MPM. Namun, untuk kita teruskan di stadium itu mungkin akan beri kesan kepada prestasi pemain dan kos kewangan pasukan juga mungkin meningkat atas faktor logistik," katanya.

Menyentuh perkembangan terkini pasukan, beliau berkata sebanyak 25 pemain telah disenaraikan dalam pasukan melibatkan gabungan pemain muda serta mereka yang pernah beraksi dalam Liga Super.

"Kalau ikut pada peraturan liga, kita boleh menyenaraikan antara 25 hingga 30 pemain. Jadi, masih terdapat lima lagi kekosongan dalam pasukan, namun kita tidak mahu tergesa-gesa memenuhi kuota terbabit," katanya.

Mohd Azhar berkata pihak pengurusan juga giat menilai beberapa pemain import menerusi siri perlawanan persahabatan untuk mengisi tiga kekosongan, khususnya pada posisi serangan, tengah dan pertahanan.

"Kita telah melakukan trial dalam dua siri perlawanan persahabatan sebelum ini. Apa yang boleh saya katakan, kita masih terbuka untuk mencari pemain import yang benar-benar berkualiti, khusus di ketiga-tiga posisi itu," katanya.

-- BERNAMA

#Kompleks Bola Sepak Perak #perak fa #Mohd Azhar Jamaluddin #gelanggang rasmi