[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
SUKAN

Komunikasi bersama jurulatih mampu tangani sebarang krisis - Liu Ying

Bernama 23/06/2025 | 05:00 MYT
Goh Liu Ying ketika ditemui media Malaysia Kidslympic Run Kuala Lumpur 2025 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur, 22 Jun 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinasihatkan supaya terus berkomunikasi secara terbuka bersama jurulatih jika menghadapi sebarang ketegangan dalam kerjasama mereka di atas gelanggang.

Ringkasan AI
  • Pentingnya Komunikasi dalam Beregu - Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinasihatkan untuk sentiasa berkomunikasi secara terbuka sesama sendiri dan dengan jurulatih bagi mengatasi ketegangan dan mencapai matlamat bersama.
  • Pemisahan dan Penyatuan Semula - Mereka pernah dipisahkan pada Mac 2025 kerana isu kerjasama, namun kembali digandingkan selepas perbincangan bersama jurulatih dan permintaan kedua-dua pemain.
  • Perselisihan Adalah Biasa dalam Pasangan - Bekas pemain Goh Liu Ying menekankan bahawa perselisihan adalah perkara biasa dalam beregu, kerana kedua-dua pihak mahukan kejayaan pengalaman yang pernah beliau alami sendiri.

Bekas pemain beregu campuran negara Goh Liu Ying berkata gandingan keempat dunia itu bukan sahaja perlu berkomunikasi sesama sendiri, tetapi harus berbincang lebih mendalam bersama jurulatih bagi memastikan mereka berada pada hala tuju serta matlamat sama.
"Setiap pemain memang akan nampak kelemahan pasangan antara satu sama lain sebab masing-masing mahu meningkat.
"Mungkin ada pemain yang rasa guna taktikal ini, namun pasangan mereka mahu guna strategi lain. Saya rasa situasi itu (beregu) sangat biasa. Jadi, peranan jurulatih di sini sangat penting, mereka harus berbincang agar dapat capai matlamat sama," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pada Mac lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan Tang Jie-Ee Wei dipisahkan bagi memberi ruang kepada jurulatih mencuba kombinasi baharu susulan ketegangan dalam hubungan mereka.
Berikutan itu, kedua-dua mereka mendapat gandingan baharu yang menyaksikan Ee Wei digandingkan dengan Loo Bing Kun, manakala Tang Jie pula berpasangan dengan Chan Wen Tse dan Terbuka Taiwan 2025 menjadi ujian pertama mereka.
Namun, pada April lepas BAM mengumumkan Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan susulan permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh antara pasukan kejurulatihan dan pemain.
Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China menjadi pentas pertama mereka bergandingan semula sehingga berjaya membantu skuad negara mara ke suku akhir.
Liu Ying berkata sebarang perselisihan faham yang timbul adalah asam garam yang perlu dilalui mana-mana pasangan dan beliau juga pernah berdepan situasi itu bersama pasangannya Chan Peng Soon suatu masa dahulu.
"Kami gaduh terlalu banyak. Semua pasangan pernah gaduh tapi tujuan gaduh itu sama kerana masing-masing mahu menang," katanya.
Liu Ying dan Peng Soon pernah melakar sejarah menjadi beregu campuran pertama negara membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik dengan kejayaan merangkul perak pada edisi Rio de Janeiro 2016 di Brazil.
-- BERNAMA
#Chen Tang Jie-Toh Ee Wei #badminton #jurulatih