Kos penganjuran LTdL 2020 sekurang-kurangnya RM20 juta

Jumlah kos tersebut mungkin meningkat lebih daripada jumlah itu, ekoran faktor logistik bagi perlumbaan di Sabah dan Sarawak.

Pihak penganjur LTdL 2020 akan turut mendapatkan penajaan daripada badan korporat, untuk memastikan kelancaran acara itu. - Gambar fail | Astro Awani
Penganjur Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL 2020), Human Voyage Sdn Bhd menganggarkan kos penganjuran perlumbaan edisi ke-25 itu, tahun hadapan adalah sekurang-kurangnya RM20 juta.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa berkata jumlah kos tersebut mungkin meningkat lebih daripada jumlah itu, ekoran faktor logistik bagi perlumbaan di Sabah dan Sarawak.

"Kami sedang memuktamadkan jumlah bajet, namun mungkin akan ada peningkatan kos, kerana kos logistik di Sabah dan Sarawak agak tinggi.

"Kita mungkin terpaksa menyewa kapal terbang khas bagi memindahkan basikal dari Sabah ke Sarawak nanti, kerana agak sukar untuk kita ikut waktu penerbangan biasa. Begitu juga dari Kuching ke Kuala Terengganu," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Ditanya sama ada Human Voyage menerima geran peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi menjayakan perlumbaan berstatus Pro Series (Siri Profesional) itu, Ahmad berkata pihaknya akan menerima peruntukan tersebut, namun masih tidak boleh mendedahkan nilai sebenar dana tersebut.

Ahmad berkata pihak penganjur LTdL 2020 akan turut mendapatkan penajaan daripada badan korporat, untuk memastikan kelancaran acara itu.

Perlumbaan edisi ke-25 itu dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 14 Februari depan, melibatkan lapan peringkat bermula di Kuching, Sarawak dan peringkat terakhir di Langkawi.

Apa yang istimewanya bagi edisi kali ini ialah, satu acara kriterium akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, sehari sebelum perlumbaan peringkat pertama LTdL 2020 bermula, bagi memberi pendedahan kepada pelumba bawah 23 tahun.

Perlumbaan klasik melibatkan penyertaan juara-juara Asia dijadualkan berlangsung, sehari selepas perlumbaan tamat di Langkawi.

-- BERNAMA