SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
SUKAN

Kos tinggi, kerajaan tak bercadang kembalikan Kejohanan F1 - Hannah Yeoh

Hasimi Muhamad 21/08/2025 | 04:32 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak bercadang untuk menganjurkan semula Kejohanan Formula 1 (F1) buat masa ini memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti yang tinggi, selain kalendar perlumbaan yang padat.


Ringkasan AI
  • Malaysia tidak bercadang menganjurkan semula F1 buat masa ini kerana kos yuran hak penganjuran sekitar RM300 juta setahun dan keperluan fasiliti yang tinggi.
  • Kos penganjuran F1 boleh mencecah RM1.5 bilion untuk kontrak 3-5 tahun, termasuk RM10 juta setahun bagi penyelenggaraan Litar Sepang.
  • Dana RM300 juta lebih bermanfaat untuk pembangunan sukan tempatan, termasuk Program Pembangunan Atlet, Road to Gold (RTG), dan Geran Padanan Sukan (GPS).


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata penganjuran Kejohanan F1 memerlukan kerajaan untuk melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, iaitu pemegang hak komersial F1.

Walau bagaimanapun, Hannah menegaskan Malaysia tidak menutup peluang sepenuhnya untuk F1 kembali, jika ada pihak korporat yang berminat untuk menampung keperluan bagi yuran hak penganjuran.

"Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga sehingga lima tahun dengan Liberty Media, dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut.

"Selain kos yuran hak penganjuran tadi, kos penyediaan litar dan penganjuran acara turut perlu diambil kira. Litar Antarabangsa Sepang masih mengekalkan penarafan homologasi litar Gred 1 Federation Internationale de l’Automobile (FIA) dan memerlukan sebanyak RM10 juta setiap tahun untuk memastikan keselamatan litar dan fasiliti sokongan menepati standard penarafan tersebut," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada Malaysia boleh menghoskan kejohanan F1 lagi.

Mengulas lanjut, Hannah (PH-Segambut) menambah kos yuran hak penganjuran sebanyak RM300 juta setahun, boleh digunakan untuk menampung pelbagai program penting di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, melalui peruntukan tersebut KBD dapat melaksanakan Program Pembangunan 20 jenis sukan yang melibatkan seramai 363 atlet podium serta 9,834 atlet pembangunan bakat, dengan kos keseluruhan sebanyak RM124.1 juta setahun.

"Dengan jumlah RM300 juta juga, KBS mampu menampung beberapa kali ganda pelaksanaan program ini, iaitu bersamaan dua tahun atau empat tahun penuh pelaksanaan program pembangunan tersebut.

"Selain itu, peruntukan kos penyediaan litar (upgrade) sebanyak RM10 juta boleh menampung program Road to Gold (RTG) setahun.

"Bukan itu sahaja, dengan jumlah yang sama, kerajaan memperuntukkan Geran Padanan Sukan (GPS) yang bernilai RM30 juta setahun untuk tempoh 10 tahun.

"Inisiatif GPS ini amat penting kerana ia merangsang pertumbuhan ekonomi sukan melalui penglibatan sektor swasta dalam penganjuran acara sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa," ujar beliau.

Jelas Hannah, Kejohanan F1 mula dianjurkan di Malaysia pada tahun 1999 dan Malaysia merupakan negara pertama di rantau Asia Tenggara yang menganjurkan acara perlumbaan berprestij itu.

Bagaimanapun selepas 19 tahun, Malaysia telah menghentikan penganjuran kejohanan tersebut pada 1 September 2017.







#Kejohanan Formula 1 #Hannah Yeoh #Kementerian Belia dan Sukan #penganjuran F1 #Dewan Rakyat