KPT perkenal Le Tour de IPT 2023

Bernama
Mac 26, 2022 13:59 MYT
Perlumbaan jelajah tersebut dilihat sinonim dengan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL), Le Tour de Peninsular dan Jelajah Malaysia. - Gambar hiasan/ Bernama
BATU PAHAT: Selaras dengan perkembangan sukan berbasikal masa kini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merancang untuk memperkasakan lagi program sukan berprestasi tinggi itu dengan memperkenalkan perlumbaan jelajah Le Tour de IPT 2023.
Perlumbaan jelajah tersebut dilihat sinonim dengan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL), Le Tour de Peninsular dan Jelajah Malaysia, kata Timbalan Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Seksyen Sukan KPT Pekan Ramli.
Menurut beliau, perlumbaan jelajah berkenaan yang akan diadakan pada tahun hadapan melibatkan laluan perlumbaan di beberapa negeri di Semenanjung, dengan laluan mula dan tamat perlumbaan melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih.
"Justeru, di atas kejayaan penganjuran Kejohanan Varsity Cycling Challenge (VCC) 2022 yang memasuki tahun keenam ini, saya percaya KPT dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selaku Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal KPT dan semua agensi berkaitan mempunyai kemampuan yang sangat besar untuk menjayakan Le Tour de IPT 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pekan berkata penganjuran VCC itu, yang menarik penyertaan 458 peserta dalam kalangan pelajar IPT dan orang awam itu, dilihat sebagai satu pemangkin kepada matlamat Dasar Pembangunan Sukan IPT untuk melahirkan The Thinking Athelete (s).
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penutup dan penyampaian hadiah VCC di Dewan Seri Medan, di sini, yang dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang turut melancarkan perlumbaan jelajah itu.
Pada kejohanan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi kategori Lebuhraya Berpasukan Pelajar Lelaki IPT manakala UTeM mengungguli kategori Lebuhraya Berpasukan Pelajar Wanita IPT.
-- BERNAMA
#KPT #Le Tour de IPT #LTdL #perlumbaan basikal