SUKAN

Kuala Lumpur anjur perlumbaan sulung Kejuaraan Dunia FIM Supercross

Bernama 06/06/2025 | 07:50 MYT
KL menjadi satu-satunya lokasi di Asia dan akan membuka tirai kejohanan dunia itu, yang turut berlangsung di Argentina, Kanada, Australia dan Afrika Selatan.
KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Kuala Lumpur akan menganjurkan perlumbaan Kejuaraan Dunia Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) Supercross 2025 di Stadium Merdeka, di sini, 18 Okt ini.


Ringkasan AI
  • Kuala Lumpur akan menganjurkan perlumbaan FIM Supercross 2025 buat pertama kali pada 18 Oktober di Stadium Merdeka.
  • KL menjadi satu-satunya lokasi di Asia dan akan membuka tirai kejohanan dunia itu, yang turut berlangsung di Argentina, Kanada, Australia dan Afrika Selatan.
  • Penganjur berharap acara ini akan memartabatkan Malaysia di mata dunia dan peminat boleh mendapatkan tiket serta maklumat lanjut di wsxchampionship.com.


Lebih istimewa, FIM dalam satu pengumuman malam tadi memaklumkan, Kuala Lumpur yang menjadi satu-satunya destinasi perlumbaan berlangsung di benua Asia dipilih untuk membuka tirai perlumbaan bagi saingan itu.

Selain Kuala Lumpur, perlumbaan juga dijadual berlangsung di empat lagi lokasi lain di setiap benua iaitu Buenos Aires, Argentina (8 Nov); Vancouver, Kanada (15 Nov); Gold Coast, Australia (29 Nov) dan berakhir di Cape Town, Afrika Selatan (13 Dis).

Ketua Pengarah Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd Shamil Yusof berkata pihaknya yang membawa masuk perlumbaan itu ke Malaysia, berharap dapat memberikan pengalaman mendebarkan kepada peminat sukan bermotor dan memartabat Malaysia di persada dunia.

"Sebagai satu-satunya negara Asia yang menjadi tuan rumah acara berprestij ini, kami amat berbangga untuk menunjukkan keupayaan Malaysia dalam menganjurkan kejuaraan bertaraf dunia," katanya dalam kenyataan.

Menerusi kenyataan sama, Pengarah FIM Motocross Commission Antonio Alia Portela pula gembira membawa saingan supercross lebih jauh ke seluruh dunia dan mencipta detik mengujakan di setiap benua.

Orang ramai yang berminat untuk merasai pengalaman menonton kejuaraan berkenaan boleh layari laman web https://wsxchampionship.com/ untuk akses tiket prajualan dan butiran lanjut.

-- BERNAMA





#FIM Supercross 2025 #Kuala Lumpur #Stadium Merdeka #Asia