Kuching City FC tempah tiket ke suku akhir Piala FA

Bernama
Mei 17, 2022 21:15 MYT
Kemenangan 0-3 ke atas Perlis United FC di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, malam tadi membawa Kuching City FC ke suku akhir Piala FA buat pertama kali. - Facebook Kuching City FC
KANGAR: Kuching City FC berjaya melangkah ke peringkat suku akhir saingan Piala FA selepas menewaskan Perlis United FC 3-0 di Stadium Tuanku Syed Putra malam tadi.
Perlawanan malam tadi menyaksikan ia bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun setiap percubaan dilakukan gagal menepati sasaran.
Pasukan pelawat berjaya membuka jaringan pada minit ke-15 hasil sepakan penalti pemain berasal dari Liberia Abu Kamara.
Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, kemudiannya menambah duka Perlis United menerusi jaringan pemain tengah Amir Amri Salleh pada minit ke-32 hasil, hantaran silang Mohamad Alif Hassan.
Kuching City FC kemudian memastikan kemenangan mutlak pasukan itu menerusi jaringan pemain import Aylton Ferreira Ananias, pada minit ke-56 dari dalam kotak penalti.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan kemenangan itu Kuching City FC kini menyertai lima lagi pasukan lain iaitu Johor Darul Ta'zim, Sri Pahang FC, Penang FC, Melaka United dan Sabah yang telah layak melangkah ke suku akhir Piala FA 2022.
-- BERNAMA
#Piala FA #Kuching City FC #Perlis United FC #bola sepak