PEMAIN tenis perlu fokus dan mempunyai mental yang kuat untuk menjadi juara dunia.
Itu kekurangan pemain Australia, Nick Kyrgios yang membiarkan emosi menguasai permainannya ketika menentang pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal dalam pusingan kedua Kejohanan Wimbledon 2019.
Kyrgios, 24 tahun juga tidak pasti apa yang dimahukannya dalam sukan itu dan tidak mengamalkan gaya hidup seperti seorang juara.
Perlawanan semalam berlangsung dengan tegang, dengan Kyrgios dilihat seakan sengaja mahu memukul bola ke arah badan seterunya, Nadal.
Dalam sidang media, dia mengakui sengaja mahu memukul bola ke arah pemain Sepanyol itu dan enggan memohon maaf.
“Kenapa saya perlu mohon maaf? Saya menang mata,” kata Kyrgios yang tewas pertarungan empat set dengan Nadal semalam.
“Saya sasarkan bola ke arahnya. Dia menang banyak Slams (Grand Slam), berapa wang dia ada dalam akaun bank? Saya rasa dia tidak mempunyai masalah bola mengenai dadanya.”
Dalam sidang media itu lagi, Kyrgios kerap kali cepat membidas wartawan di sidang media.
Salah satu soalan wartawan yang ditanya kepadanya adalah "Adakah kamu rasa mampu bermain dengan lebih baik jika tidak pergi ke pub malam tadi?"
Ini jawapan Kyrgios kepada wartawan tersebut:
“Tidak. Kamu (wartawan) kelihatan teruja untuk tanya soalan itu. Kamu mesti menjalani kehidupan yang membosankan.” jawab Kyrgios.
Soalan tersebut ditanya apabila Kyrgios dilihat berada di sebuah pub, malam sebelum perlawanan menentang Nadal.
Kyrgios memang terkenal sebagai seorang pemain yang penuh kontroversi, kerap kali mengamuk di gelanggang ala legenda tenis John McEnroe, dengan membaling raket dan menyepak botol air.
Namun ramai bekas pemain mengakui Kyrgios mempunyai bakat yang luar biasa dan mampu menjadi seorang pemain yang hebat.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan Kyrgios memenangi beberapa mata dengan melakukan servis tanpa melambung bola, pukulan servis di bawah pinggang.
Nadal kelihatan tenang walaupun terpedaya dengan servis yang dilakukan Kyrgios.
Pemain Australia itu juga kerap kali bertengkar dengan umpire atau pengadil dan juga mengutuk mutu pengadilan, Damien Dumusois.
Kyrgios menganggap mutu pengadilan semalam amat memalukan.
“Peraturan menyatakan untuk bermain mengikuti rentak pemain yang melakukan servis. Kenapa pula saya perlu menunggu Rafa untuk bersedia setiap masa” kata Kyrgios.
“Saya rasa cara dia (Dumusois) mengadili perlawanan sangat teruk,” tambah Kyrgios.
Pertemuan dua seteru ini sememangnya menjanjikan pertarungan yang hebat dan penuh emosi.
Nadal dan Kyrgios bertemu lima tahun lepas semasa pemain Australia itu berusia 19 tahun, dan menjadi pemain pertama di luar ranking 100 dunia untuk mengalahkan pemain nombor satu dunia di kejohanan Grand Slam sejak 1992.
Rekod pertemuan sebelum perlawanan semalam juga seimbang, dengan masing-masing memenangi tiga perlawanan dalam enam pertemuan.
Nadal bagaimanapun menganggap Kyrgios seorang pemain yang hebat dan mampu menjadi juara kejohanan Grand Slam di masa hadapan.
Kyrgios mengakui dia seorang pemain yang mampu melakukannya cuma dia tidak menjalani kehidupan seperti seorang pemain profesional yang lain.
“Saya seorang yang paling tidak profesional. Saya tidak berlatih setiap hari.”
“Banyak perkara saya perlu baiki jika mahu mencapai tahap seperti Rafa, Novak (Djokovic), Roger (Federer) yang melakukannya dalam tempoh yang lama. Ia bergantung kepada apa yang saya mahu.” kata Kyrgios.
Kyrgios yang dilahirkan di Australia, adalah anak kacukan Melayu-Greek.
Ibunya, Norlaila dilahirkan di Gombak dan bapanya, George adalah seorang warga Greece dan mempunyai hubungan rapat dengan ahli keluarganya di Malaysia.
Juara tiga kali Wimbledon, Boris Becker berharap Kyrgios berlajar daripada perlawanan dengan Nadal itu.
“Dia seorang pemain tenis yang baik, kami mahukan dia dalam tenis, kami perlukannya apabila tiga nama besar (Federer, Nadal, Djokovic) sudah bersara,” kata Becker.
Ian Johan Ariff
Fri Jul 05 2019
Nick Kyrgios mampu menjadi antara pemain terbaik di dunia, jika dia mempunyai matlamat yang jelas. - Foto AP.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, pada Sabtu.
BN dan UMNO tetap rakan setia politik dengan PH
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu akan kekal setia sebagai rakan politik bersama Pakatan Harapan (PH) di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jelas beliau, BN dan juga UMNO juga tidak akan termakan dengan ajakan serta pujukan daripada mana-mana pihak untuk meninggalkan gabungan sedia ada.
Saya dinasihatkan kekal sebagai MB Selangor - Amirudin
Amirudin berkata kestabilan adalah penting untuk kerajaan negeri meneruskan apa yang telah dimulakan, termasuk merangka Rancangan Selangor Kedua yang dijangka siap pada 2026.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 14 Disember 2024.
10 Berita Pilihan - (14 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Selebriti lelaki ditahan di Cyberjaya, disyaki miliki ganja
Seorang selebriti tempatan ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah teres di Cyberjaya, hari ini.
Kyrgios kalah sebab tidak mampu kawal emosi
Pemain kacukan Greece-Malaysia, Nick Kyrgios perlu fokus jika mahu berjaya dalam sesuatu bidang.