SUKAN
LaLiga Extra Time fokus penajaan sukan dan bola sepak akar umbi
Bengkel LaLiga Extratime diadakan di ibu negara pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Federasi bola sepak gergasi Sepanyol, LaLiga menganjurkan kolaborasi program LaLiga Extra Time edisi kedua membincangkan penajaan sukan dan pembangunan akar umbi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainal Abidin Hassan serta Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, José Luis Pardo antara tetamu kehormat yang hadir.
LaLiga Extra Time mempunyai matlamat untuk menghimpunkan pemain industri serta menyediakan ruang pertukaran maklumat dan rangkaian berkualiti tinggi.
Sementara itu, Ketua LaLiga di Malaysia, Adrián Prol mendedahkan pendapatan komersial LaLiga meningkat daripada 74 juta Euro hingga 160 juta Euro dalam masa tujuh bulan.
"Demikian kepentingan mendapatkan penaja global yang relevan, mampu meningkatkan keterlihatan jenama LaLiga dan pertumbuhan sangat pesat," ujar Adrián Prol.
Tegas beliau, LaLiga berhasrat untuk membina hubungan jangka panjang bersama penaja tempatan, khususnya dalam sektor tenaga, jam tangan, penerbangan, kewangan dan insurans.
Untuk rekod, Malaysia merupakan salah satu daripada lapan akademi rasmi LaLiga di seluruh dunia.
Setakat ini, LaLiga telah melaksanakan lebih daripada 840 projek bola sepak belia di 57 negara, melibatkan lebih 800 jurulatih LALIGA, 25,000 jurulatih tempatan dan 240,000 pemain muda.