SUKAN

Laluan mudah Aaron-Wooi Yik ke pusingan kedua Terbuka India

Bernama 14/01/2026 | 15:15 MYT
Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami yang menewaskan satu lagi wakil negara Arif Junaidi-Yap Roy King dalam perlawanan sengit 26-28, 21-18, 22-20. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengesahkan tempat ke pusingan kedua Terbuka India 2026 selepas pasangan senegara Kang Khai Xing-Aaron Tai, menarik diri akibat kecederaan pada perlawanan pusingan pertama di New Delhi,hari ini.


Ringkasan AI
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke pusingan kedua Terbuka India 2026 selepas pasangan Kang Khai Xing-Aaron Tai menarik diri akibat kecederaan.
  • Aaron Tai mengalami sakit belakang, memaksa pasangan Malaysia itu menarik diri ketika unggul 21-12, 11-6.
  • Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Goh V Shem.


Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu hanya mengambil masa 21 minit sebelum Khai Xing-Aaron Tai mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perlawanan ketika Aaron-Wooi Yik sedang mendahului 21-12, 11-6.

Menurut kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikongsi kepada media Malaysia, Aaron Tai mengalami sakit belakang yang memaksanya menarik diri.

Pada pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pasangan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami yang menewaskan satu lagi wakil negara Arif Junaidi-Yap Roy King dalam perlawanan sengit 26-28, 21-18, 22-20.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara Chia Weijie-Lwi Sheng Hao tersingkir selepas tewas 18-21, 15-21 kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.

Selain itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Goh V Shem, 19-21, 21-16, 21-10.

Dalam pusingan kedua, pasangan Malaysia itu akan bertemu sama ada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, atau wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Sementara itu, dalam beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah mengekalkan prestasi cemerlang Malaysia dengan kemenangan straight set ke atas pasangan India, Kavipriya Selvam-Simran Singhi, 21-18, 21-6, dan dijadual berdepan pasangan Perancis, Margot Lambert-Camille Pognante.

Namun, satu lagi beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting tersingkir selepas tewas 17-21, 15-21 kepada pasangan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En-Tzu.

-- BERNAMA


#BWF #Terbuka India #psangan beregu #pusingan kedua