KUALA LUMPUR: Langkawi menjadi pulau pertama di negara ini memiliki padang bola sepak sintetik atau padang rumput tiruan.

Padang sintetik bernilai RM3.5 juta yang dibina di Kampung Ulu Melaka diyakini dapat meningkatkan budaya sukan dalam kalangan penduduk tempatan .

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, projek pembinaan padang itu bermula pada 2020 dan siap pada 2 Januari lalu.

"Projek ini mula dibina pada 2020 menggunakan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan hari ini kita serahkan kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLPBP) untuk pengurusan.

"Pembinaan fasiliti ini memberi manfaat besar dan dilihat selari dengan teras dalam Visi Sukan Negara 2030," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Padang Bola Sintetik di Kampung Kumpulan  baru-baru ini.

Hannah berkata, padang canggih itu diyakini dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu di pulau ini untuk diketengahkan sebagai pemain bola sepak daerah, negeri dan kebangsaan pada masa akan datang.

"Ini adalah fasiliti bertaraf moden kedua siap dibangunkan KBS di Kedah selepas pembangunan Pusat Skuasy Kedah di Alor Setar bernilai RM10.8 juta telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada Disember lalu.

"KBS kini mengutamakan projek menaik taraf fasiliti sedia ada, kalau (perlu) bina baharu kita akan kaji keperluan di tempat terbabit bagi memastikan tiada pembaziran kerana kos menyelenggara fasiliti seperti ini tinggi," katanya lagi.