Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

Laos tekad pamer kebangkitan lawan Harimau Malaya

Bernama 13/10/2025 | 08:11 MYT
Ha Hyeokjun berkata, Laos perlu belajar daripada kesilapan supaya lebih bersedia untuk perlawanan esok. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Laos Ha Hyeokjun berharap pasukannya dapat melakar keputusan yang lebih baik apabila berdepan Malaysia dalam aksi timbal balik Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam esok.

Pengendali berasal dari Korea Selatan itu mengakui penguasaan Malaysia dalam pertemuan di Vientiane, Khamis lepas yang menyaksikan Harimau Malaya meraih kemenangan selesa 3-0, namun beliau berkata pasukannya telah memperoleh pengajaran berharga daripada kekalahan itu.

"Banyak yang perlu dipelajari dan dianalisis daripada perlawanan itu, namun akhirnya Malaysia adalah pasukan yang lebih baik.

"Kami kena belajar daripada kesilapan supaya lebih bersedia untuk perlawanan esok. Semoga kami dapat mencapai keputusan yang lebih baik untuk Laos," katanya dalam sidang media praperlawanan menjelang pertembungan malam esok di sini hari ini.

Beliau juga tidak menganggap isu pemain naturalisasi dan kemelut pendaftaran tujuh pemain warisan antara Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai kelemahan bagi skuad Harimau Malaya.

"Kami tidak memikirkan hal itu. Kami beranggapan pasukan Malaysia tetap sama sahaja dan kami sedang membuat persiapan berdasarkan itu," katanya.

Beliau berkata penggunaan pemain naturalisasi mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri.

"Saya rasa ia adalah pedang bermata dua. Negara seperti Korea Selatan dan Jepun tidak bergantung kepada kaedah ini, walaupun ada sebab untuk berbuat demikian. Saya faham bahawa pemain naturalisasi boleh membantu meningkatkan bola sepak dalam jangka pendek, tetapi ada juga kesan negatif yang boleh timbul. Saya mempunyai pandangan bercampur mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, pemain Laos, Kydavone Souvanny mengakui kekuatan Malaysia terletak pada kualiti dan pengalaman, terutamanya dengan kehadiran beberapa pemain yang beraksi di luar negara termasuk di Liga J1 Jepun.

"Ini memberikan mereka kelebihan dari segi pengalaman dan kemampuan. Namun, kami telah mengkaji corak permainan Malaysia dan akan melakukan yang terbaik sebagai satu pasukan untuk mengehadkan kekuatan mereka serta menutup ruang sebanyak mungkin," kata pemain sayap berusia 25 tahun itu.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam (enam mata), Laos (tiga mata) dan Nepal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA

#laos #harimau Malaya #ha hyeokjun #aksi timbal balik #kelayakan piala Asia #Stadium Nasional Bukit Jalil