SUKAN
Ledecky menangi gelaran dunia ke-7 800m gaya bebas, terus kuasai acara di Singapura

Ledecky meraikan kejayaan selepas memenangi pingat emas dalam acara 800 meter gaya bebas wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura, 2 Ogos 2025. (Foto AP)
SINGAPURA: Legenda renang Amerika Syarikat Katie Ledecky merangkul gelaran dunia ketujuh dalam acara 800 meter gaya bebas wanita di Kejohanan Akuatik Dunia pada Sabtu, sekali gus mengukuhkan penguasaannya dalam acara yang telah beliau dominasi selama lebih sedekad, lapor Xinhua.
Ringkasan AI
- Katie Ledecky Raih Emas Dunia ke-7 - Katie Ledecky menjuarai acara 800m gaya bebas wanita di Kejohanan Akuatik Dunia dengan masa 8:05.62, memecahkan rekod kejohanan miliknya dan mengekalkan penguasaan lebih sedekad dalam acara itu.
- Saingan Sengit & Rekod Baharu - Lani Pallister (Australia) dan Summer McIntosh (Kanada) memberikan cabaran hebat dengan masing-masing mencipta rekod peribadi dan serantau, namun hanya mampu meraih perak dan gangsa.
- Ledecky Kekal Legenda Renang Dunia - Dengan kemenangan ini, Ledecky kini mengumpul 23 pingat emas Kejohanan Dunia dan 9 emas Olimpik rekod tertinggi bagi perenang wanita dalam sejarah.
Ledecky memenangi emas acara 800m kali pertama di Kejohanan Dunia 2013 di Barcelona dan merangkul gelaran itu dalam setiap edisi selepas itu - kecuali Doha 2024, yang beliau tidak sertai kerana memberi keutamaan kepada persiapan Sukan Olimpik.
Perenang Amerika itu turut memenangi emas acara 1,500m gaya bebas minggu ini di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan 23 pingat emas Kejohanan Dunia serta sembilan pingat emas Olimpik -- yang terbanyak dalam sejarah bagi perenang wanita. Beliau juga pemegang rekod dunia 800m (8:04.12) yang dicipta awal tahun ini.
"Saya rasa tiada apa yang saya perlu bimbangkan pada peringkat ini dalam kerjaya saya. Saya hanya menikmati sorakan penonton, berenang menentang perenang terbaik dunia. Semua yang bertanding itu ialah generasi baharu dalam sukan ini, dan saya bangga dapat bersama mereka."
Tumpuan awal diberikan kepada pertembungan antara Ledecky dan McIntosh yang berusia 18 tahun, namun Pallister hampir mencetus kejutan.
Perenang Australia itu mencatat rekod peribadi 8:05.98, sekali gus memecahkan rekod Oceania dan meraih pingat perak dengan hanya ketinggalan 0.36 saat di belakang Ledecky.
Pallister, yang sebelum ini memenangi gangsa dalam acara 1,500m, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
"Saya rasa seperti saya tidak benar-benar berada dalam perlumbaan. Seolah-olah saya hanya memerhati mereka bersaing, dan tertanya-tanya siapa yang akan menang. Tapi saya sangat gembira dengan cara saya menghabiskan perlumbaan ini," katanya.
McIntosh, yang sudah memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan ini, meraih gangsa dengan catatan 8:07.29. Beliau memberikan saingan kuat namun gagal menyaingi kepantasan dua perenang teratas.
"Saya rasa saya terlalu fokus kepada Katie yang berada di sebelah dan cuba mengikut rentaknya, dan bukannya menumpukan kepada perlumbaan saya sendiri. Itu satu pengajaran besar buat saya," katanya.
Simona Quadarella dari Itali menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan 8:12.81, sekali gus mencipta rekod baharu Eropah, manakala Li Bingjie dari China di tempat kelima dengan masa 8:15.59.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami