SUKAN

Lee Chong Wei terbuka sambut Misbun Sidek dalam kem kebangsaan

Astro Arena 02/02/2026 | 11:00 MYT
Chong Wei berkata dia menyerahkan keputusan berkenaan kepada barisan kejurulatihan negara untuk menentukan yang terbaik buat kem perseorangan kebangsaan. - Gambar fail/stadium Astro
PENGERUSI Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, terbuka untuk menerima kepulangan Datuk Misbun Sidek ke dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan sebaik tempoh perkhidmatan bekas jurulatihnya itu di India berakhir.

Bagaimanapun, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata dia menyerahkan keputusan berkenaan kepada barisan kejurulatihan negara untuk menentukan yang terbaik buat kem perseorangan kebangsaan.

"Bagi saya ia bergantung kepada pilihan barisan kejurulatihan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Jika barisan kejurulatihan mahukan Datuk Misbun kembali ke BAM, tugas saya adalah bertemu dengannya untuk berbincang sama ada dia mahu kembali ke skuad kebangsaan atau tidak.

"Jika barisan kejurulatihan katakan mereka perlukan jurulatih lain, saya menghormati keperluan mereka. Tugas saya adalah untuk membantu barisan kejurulatihan.

"Tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Mungkin akan ada jurulatih letak jawatan, ada jurulatih tamat kontrak atau mungkin ada jurulatih yang tidak bersesuaian.

"Jika ada kekosongan, sudah pasti kami mengalu-alukan kehadirannya."

Terdahulu, Misbun dilaporkan mengikat kontrak dengan sebuah kelab ternama di India dengan sasaran untuk melahirkan seorang lagi pemain nombor satu dunia di bawah bimbingannya.

Sebagai rekod, Datuk Rashid Sidek, Roslin Hashim dan Chong Wei merupakan pemain nombor satu dunia yang lahir dari air tangan legenda negara itu. -- Stadium Astro










#Lee Chong Wei #Misbun Sidek #BAM #jurulatih badminton kebangsaan