[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
SUKAN

Legenda bola sepak Sarawak, Alan Vest meninggal dunia

Rudi Affendi Khalik 31/10/2025 | 01:20 MYT
Sepanjang berkhidmat di Sarawak, Vest merupakan individu yang bertanggungjawab menukar landskap bola sepak negeri itu, selepas era kegemilangan Ngap Sayot, pimpinan Awang Mahyan Awang Mohamed.
KUCHING: Peminat sukan Sarawak berduka, apabila menerima perkhabaran perginya legenda bola sepak Alan Vest, semalam, pada usia 86 tahun.

Vest meninggal di Perth, Australia, yang menjadi kampung halamannya selepas bersara.

Vest merupakan individu yang bertanggungjawab menukar landskap bola sepak Sarawak, selepas era kegemilangan Ngap Sayot, pimpinan Awang Mahyan Awang Mohamed.

Ketika itu, Persatuan Bolasepak Sarawak diketuai oleh Datuk Seri Mohd Taha Ariffin dan beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada Vest untuk mencungkil bakat bola sepak anak Sarawak dari segenap ceruk rantau wilayah itu.

Turut membawa masuk tiga pemain import - John Hunter, David Evans dan Jeff Currant, selain beberapa dari Semenanjung seperti Mazlan Wahid, Ong Kim Swee dan Shamsurin Abdul Rahman, Vest menerapkan rejim latihan berdasarkan disiplin, taktikal dan kemahiran.

Hasilnya, beliau memimpin skuad Bujang Senang itu mencipta sejarah memenangi Piala FA pada 1992, menjulang Piala Liga Premier pada 1997 serta Piala Sumbangsih 1998.

Vest memulakan kerjaya kejurulatihan sekitar 1960-an apabila memimpin pasukan Rugby Town dan Rochdale United di Australia.

Beliau kemudian mengurus pasukan New Zealand, NSL sewaktu kemuncak prestasinya pada 1970-an, sebelum dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Bolasepak Australia Barat.

Sekitar 1990-an, beliau berkelana ke Sarawak, sebelum mencipta sensasi dengan pasukan baharunya itu.

Sepanjang 1992 hingga 1998 itu, beliau menurunkan ilmu kejurulatihannya kepada bakat tempatan, Abdol Wahet Uji, Pengiran Bala dan Abdul Jalil Ramli sehingga mereka muncul sebagai antara yang disegani.

Vest kemudian memimpin Geylang United yang beraksi di Liga S untuk beberapa musim sebelum kembali ke Australia untuk memimpin Perth Glory sebagai Penolong Pengurus selama empat musim pada 2001 dan edisi 2005-2006, bagi mengganttikan Steve Mcmahon yang melepaskan jawatan di pertengahan liga.

Dilahirkan di pedalaman England, Vest berhijrah ke New Zealand untuk menjadi pemain penyerang skuad kebangsaannya.

Bagi menghargai kejayaannya, pada 2016, nama Vest diabadikan dalam Football Hall Of Fame Western Australia.


#Alan Vest #legenda bola sepak Sarawak #skuad bujang senang #Alan Vest meninggal dunia