Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

Lewandowski tidak mahu Lamine Yamal sia-siakan bakat

Astro Arena 15/08/2025 | 04:00 MYT
Lewandowski berkata, Yamal akan sentiasa menjadi perhatian media dalam beberapa tahun ke hadapan. - Gambar/ Stadium Astro
PENYERANG Barcelona, Robert Lewandowski, menegur rakan sepasukan, Lamine Yamal, agar mencari keseimbangan dalam soal kehidupannya agar dia dapat menikmati kerjayanya dalam masa yang panjang.


Ringkasan AI
  • Robert Lewandowski menasihati Lamine Yamal agar mencari keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya bola sepak supaya dapat menikmati perjalanan profesionalnya dalam jangka panjang.
  • Yamal menerima kritikan selepas dilaporkan mengupah orang kerdil sebagai hiburan dalam majlis hari jadinya yang bertemakan gangster.
  • Walaupun Yamal dicalonkan untuk Ballon d'Or dan dianggap berbakat besar, Lewandowski mengingatkan bahawa perhatian media dan tekanan awam akan terus meningkat, dan Yamal perlu bijak mengendalikannya.


Yamal telah mengecapi kejayaan mendadak dan merupakan antara pilihan untuk memenangi Anugerah Ballon d'Or tahun ini.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Sepanyol itu baru-baru ini berdepan kritikan umum kerana dilaporkan mengupah orang kerdil sebagai sebahagian daripada acara hiburan dalam majlis hari jadinya ke-18 yang bertemakan gangster pada 13 Julai lalu.

"Lamine sangat muda, dia wajar menikmati kehidupannya," kata Lewandowski kepada ESPN.

"Dia perlu menikmati kehidupan atas pelbagai sebab, bukan setakat dalam bola sepak malah di luar padang juga.

"Sudah tentu, ia juga akan menjadi detik yang sukar untuknya dalam mengendalikannya. Yang pasti, ia bukan mudah tetapi dia juga perlu menikmati segala-galanya. Dalam dalam usia sebegitu, dia boleh dan mungkin pada masa hadapan dia sudah tidak boleh menikmatinya lagi. Tetapi dia hanya perlukan keseimbangan.

"Dia seorang budak yang sangat baik. Lamine mahu menjadi diri sendiri. Sudah tentu, akan muncul banyak spekulasi tentang perkara ini.

"Ia bergantung tentang bagaimana dia mampu mengendalikan perkara ini untuk jangka panjang.

"Dia akan sentiasa menjadi perhatian media dalam dua, tiga, empat tahun." - Stadium Astro






#Lamine Yamal #barcelona #Robert Lewandowski #kontroversi