Pemandu Britain, Lewis Hamilton, meneruskan aksi cemerlang awal musim apabila menyambar petak pertama perlumbaan Formula Satu (F1) Petronas Grand Prix Malaysia 2015 di Litar Antarabangsa Sepang di sini hari ini.

Pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas itu akan memulakan perlumbaan di petak hadapan selepas mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan yang mencabar, dengan kelebihan tipis 0.074s dengan penghuni petak kedua Sebastian Vettel dari pasukan Ferrari.

Cuaca hujan yang membnashi trek tidak menghalang Hamilton, selaku penyandang juara dunia, mencatatkan masa terpantas satu minit 49.834 saat, sekali gus menduduki petak utama bagi kali kedua musim ini dan kali ke-40 sepanjang kariernya.

Dalam sesi kelayakan pertama (Q1) Hamilton mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu tetapi tercorot ke tangga kelapan pada kelayakan kedua sebelum melonjak ke tangga teratas pada sesi kelayakan ketiga.

"Saya fikir pusingan pertama adalah agak baik. Saya tertekan dan seterusnya ialah berhenti di satu peringkat walaupun tersasar sedikit pada pusingan tetapi pada umumnya pasukan telah melakukan tugasan yang hebat untuk kedua-dua kami sekali lagi menduduki di atas.

"Tahun lepas kami membuat tiga singgahan, ia amat sukar pada tayar di sini, dan dengan suhu yang panas ini termasuk perlumbaan yang diadakan lebih awal, jadi ia lebih awal jika trek kering. Ia pasti menjadi saingan yang benar-benar mencabar bagi semua bukan sahaja jentera tetapi juga tayar dan strategi.

Mengiringi Hamilton di barisan hadapan ialah pemandu Jerman, Vettel yang mencatat masa 1:49.908S.
Vettel berkata dia mengharapkan untuk beraksi di litar yang basah sebagai kelebihan untuk perlumbaan esok.

"Jika boleh, kita perlu mempunyai jentera yang baik, saya fikir kita menampakkan kelemahan pada Jumaat. Saya fikir kita harus mengkaji kedudukan kita. Jelas, sekarang kita akan lihat apa yang boleh dilakukan sebagai persediaan untuk perlumbaan.

"Saya tahu perlumbaan ini mungkin sukar seperti disebutkan sebelum ini, terutama pada tayar, dan yang penting kita tidak menjangka hujan... itulah sahaja peluang dan ia boleh menyelubungi situasi sekeliling," kata Vettel.

Sesi kelayakan ketiga ditangguhkan selama 35 minit kerana hujan lebat dengan penurunan suhu trek kepada 38 darjah Celsius daripada 58 darjah Celsius.

Sementara itu, rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg akan bermula dari petak ketiga di grid selepas mencatatkan 1:50.299s.

Rosberg mendakwa bahawa hari ini bukanlah prestasi terbaik beliau tetapi beliau bersedia untuk saingan esok dan menyimpan hasrat untuk meraih kemenangan.

"Tempat ketiga tidak begitu baik tetapi itulah yang dicatatkan. Keadaan di luar sana agak menarik kerana banyak cengkaman, ia sukar dipercayai, saya jarang mengalami cengkaman yang begitu banyak dalam trek basah. Ia sangat luar biasa tetapi baik tetapi tidak cukup pantas.

"Yang pasti saya menaruh harapan untuk saingan esok. Saya memilki jentera yang hebat dan saya beraksi dengan baik pada Jumaat jadi saya mempunyai asas.

"Saya berharap saya dapat memintas Vettel dan merapati di belakang Hamilton dan kemudian meluru ke hadapan untuk meraih kemenangan," kata Rosberg, pemandu kelahiran Jerman.